SHAH ALAM - #Projek Baju Raya yang digerakkan oleh Kumpulan Karangkraf bagi menyerikan kemeriahan Syawal untuk golongan yang tidak berkemampuan berjaya mengumpulkan sebanyak 500 kilogram (kg) pakaian.
Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, hasil daripada pemberian orang ramai, jumlah tersebut akan memanfaatkan lebih 20,000 penerima.
Menurut beliau, hampir 90 peratus daripada jumlah pakaian yang diterima itu adalah dalam keadaan baik dan baharu.
"Kita baru sahaja habiskan #Projek Baju Raya yang berlangsung sepanjang Iftar Ala Madinah pada 15 April lepas. Disebabkan sambutan luar biasa dan tidak disangka, masih ada lagi yang berikan sumbangan.
"Ini sudah semestinya adalah satu perkara yang akan membahagiakan penerima baju-baju ini kerana dapat memakai pakaian baharu pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Jelas beliau, pengagihan pertama akan diberikan kepada Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur pada Selasa jam 9 malam.
Tambahnya, dengan kerjasama Sinar Karangkraf dan Persatuan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), pengagihan itu akan memberi manfaat kepada hampir 150 gelandangan, asnaf dan juga orang kurang upaya (OKU).
"Akan ada beberapa lagi sesi seterusnya hingga malam raya. Ia tidak berhenti di situ, selepas cuti raya kita akan sambung beri sumbangan kepada seberapa banyak komuniti yang memerlukan sehingga habis,” ujarnya.
Selain itu, Nik Justin berkata, oleh kerana sambutan yang diberikan amat memberangsangkan, kempen tersebut akan dijadikan sebagai program tahunan.