Isteri sarat hamil, suami pula murung

Iklan
Zulkepli (dua, kiri) bersama wakil Tabung Beras 8 Asnaf (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Arina sekeluarga.

TUMPAT - Seorang isteri buntu memikirkan nasib keluarga apabila suaminya mengalami masalah kemurungan, sedangkan dia pula sarat hamil lapan bulan.

Arina Manidi, 26, hidup melarat bersama tiga anaknya apabila tiada pendapatan bagi menampung keperluan seharian mereka sekeluarga.

Iklan
Iklan

Menurut ibu muda itu, anaknya berusia 9, 6 dan 2 tahun pernah makan nasi berlaukkan garam apabila tiada wang dan keperluan dapur terputus.

"Saya terpaksa menagih simpati pada orang ramai, saya tebalkan muka minta belas ihsan kerana anak-anak kelaparan.

Iklan

"Penderitaan saya tular di media sosial dan akhirnya ada yang bersimpati hulurkan makanan dan wang kepada kami," katanya.

Terdahulu dia menerima kunjungan Yayasan Amal Datuk Zul Wisma dan Tabung Beras 8 Asnaf di rumahnya di Kampung Dalam Rhu di sini.

Iklan

Arina berkata, sudah enam bulan suaminya, Mohd Efandi Yusoaff@Ghazali, 35, tidak bekerja kerana kemurungan.

Katanya, sebelum ini dia yang selalu menemani suaminya keluar bekerja mencari barang lusuh.

"Sejak dia alami gangguan emosi, kami sudah tidak bekerja lagi.

"Saya pula hanya tunggu masa nak bersalin bulan depan, nak keluar cari kerja dah tak larat lagi," katanya mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) pembelajaran.

Menurutnya, bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan hanya cukup untuk membayar sewa rumah dan keperluan dapur bagi tempoh seminggu.

"Pakaian untuk anak bakal lahir belum beli lagi, nak guna baju lama ada di Johor. Baju sekolah untuk anak-anak pun belum beli.

"Runsing saya untuk menempuh hari berpantang nanti kerana ibu bapa sudah meninggal, adik beradik tiada di sini kerana saya orang Johor," katanya.