SHAH ALAM - Ahli politik perlu mempunyai integriti yang tinggi dan rasa tanggungjawab kepada negara bagi memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat dapat dikekalkan.
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, soal perpaduan negara tidak boleh berkompromi dan harus diletakkan pada nombor satu berbanding kerjaya politik seseorang.
"Kalau tidak suka mana-mana pemimpin kritik secara berhemah. Dalam pilihan raya mahu perang atau serang boleh, tiada masalah asalkan bukan menggunakan cara fitnah dan pembohongan serta menakut-nakutkan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar bertajuk"Konflik Politik Melayu” yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panel ialah Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor serta Penganalisis Keselamatan dan Politik, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Tambah Mohd Sany, tidak dinafikan fitnah sememangnya popular dan boleh dapat undi tetapi ia akan menghancurkan negara.
"Kemana kita selepas itu, adakah mahu negara hancur, rakyat bergaduh, pandang satu kaum dengan tidak baik atau tidak sihat. Oleh itu, sebagai orang politik rasa tanggungjawab itu perlu ada.
"Jangan sebab mahu undi dan capai kemenangan besar dalam pilihan raya kita pilih jalan yang salah," ujarnya.