PORT DICKSON - Klana Beach Resort Port Dickson merancang untuk memperbesarkan lagi hotel tersebut dengan membina sebuah dewan besar.
Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) Hotel Sdn Bhd, Datuk Mohamed Husein berkata, hasrat tersebut sudah lama dirancang memandangkan hotel berkenaan merupakan salah satu hotel terbaik di PD.
Menurutnya, MAINS Hotel kini dalam proses perundingan mengenai pembelian tanah yang terletak di belakang hotel berkenaan.
"Kita harap rundingan jual beli tanah ini dipermudahkan dan semuanya berjalan dengan lancar.
"Kalau semuanya selesai MAINS akan membina sebuah dewan serbaguna bagi menampung keperluan yang lebih besar," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Memperkenalkan Buffet Ramadan di Klana Beach Resort Port Dickson di sini.
Mohamed berkata, selain membesarkan hotel milik MAINS ini, beliau juga merancang untuk membuka sebuah lagi hotel berkonsepkan Islamik di Gemas.
Katanya, MAINS Hotel perlu lebih aktif dan kreatif untuk menambah aset dalam mencapai ekonomi yang lebih cemerlang.
Hotel yang memiliki balai cerap itu merupakan antara daya penarik utama pengunjung untuk ke hotel tersebut yang dimiliki oleh MAINS sepenuhnya.
"Kita juga bersyukur kerana balai cerap Teluk Kemang ini menjadi satu tempat tumpuan pelancong, sekali gus menarik pelancong menginap di hotel kita.
"Balai cerap kita merupakan antara yang terbaik, malah kita mempunyai hubungan dengan masyarakat Muslim di Hong Kong yang ingin berkongsi maklumat cakera alam dengan kita, khususnya dalam menentukan tarikh bagi bulan-bulan Islam, termasuk melihat anak bulan bagi bulan puasa dan hari raya," katanya.