DALAM misi merealisasikan pingat emas sulung di pentas Sukan Olimpik, Jawatankuasa Road to Gold (RTG) meletakkan negara kuasa besar Asia, Jepun sebagai sumber inspirasi.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, kepakaran Jepun khususnya yang dimiliki Universiti Sains Sukan Nippon (NSSU) di Tokyo cukup terbukti dengan pencapaian dilakar atlet negara dari negara matahari terbit itu.
"Kenapa Jepun? (Ini) kerana mereka adalah negara Asia yang banyak memenangi pingat emas (di Olimpik). Apabila saya pergi ke universiti di sana (NSSU), galeri Dewan Kemasyhuran mereka saja menampilkan lebih 40 pemenang pingat emas di peringkat universiti.
"Apa-apa yang kita perlukan mereka akan bantu,” kata Hannah selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di Putrajaya pada Selasa.
NSSU memiliki rekod cemerlang dalam penghasilan barisan atlet bertaraf dunia apabila melahirkan 137 pemenang pingat buat kontinjen Jepun pada Sukan Olimpik serta Paralimpik termasuk 41 pingat emas keseluruhan.
Minggu lalu, Hannah mengetuai lawatan delegasi Jawatankuasa RTG ke NSSU dalam misi melahirkan atlet yang mampu menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu.
Turut serta dalam delegasi itu ialah Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli dan Penyelaras RTG, Stuart Ramalingam.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, pihaknya sedang meneliti strategi terbaik untuk tidak hanya bergantung kepada acara sukan seperti berbasikal, badminton dan terjun bagi menyumbang pingat buat Malaysia di pentas Olimpik.
"Sebenarnya kita ada banyak lagi atlet yang berpotensi jika ada strategi yang betul. Sebab itulah, kita menjalin kerjasama dengan NSSU.
"Selepas kita meneliti, perbandingan paling jelas yang dapat dilihat adalah cara mereka mencungkil bakat bermula sangat awal di peringkat sekolah,” jelasnya.
Untuk rekod, Malaysia yang menyertai Olimpik musim panas sejak edisi Melbourne 1956 masih kempunan untuk meraih pingat emas dengan pencapaian terbaik sekadar empat perak dan satu gangsa pada temasya Olimpik Rio 2016.