KUALA LUMPUR - Walaupun tidak menetap di Malaysia, pelakon antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh, 61, melahirkan rasa bangga dengan negara kelahirannya, yang menurutnya memainkan peranan penting dalam membentuk dirinya sepertimana hari ini.
Bintang kelahiran Ipoh itu berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang memiliki pelbagai kaum serta budaya, dan itu menjadikannya amat unik.
"Kita telah belajar untuk hidup dan menghayati budaya masing-masing. Itu menjadikan saya sebagai seseorang yang global antarabangsa.. jadi walau ke mana saya pergi, saya tidak nampak sebarang perbezaan dalam diri seseorang.
"Sebaliknya saya melihat bagaimana saya boleh belajar daripada orang lain kerana apabila kita berada di sini, kita belajar bagaimana untuk belajar daripada rakan Melayu, India dan Cina," katanya pada sidang media pertamanya di Malaysia di sini pada Selasa sejak kemenangan penuh bersejarah yang diraihnya apabila memenangi anugerah Oscar bulan lepas.
Pelakon yang menenangi Anugerah Akademi itu benar-benar gembira dapat kembali ke tanah air dan pada masa yang sama, menurutnya kepulangan itu membolehkan beliau merasai makanan kegemaran Malaysia yang memang amat dirindunya.
"Seronok dapat kembali ke Malaysia. Saya sudah menjamah nasi lemak, mi kari, nga choy kai dan (char) hor fun sejak pulang ke rumah. Sebab itu saya nampak sangat gemuk (berat badan bertambah)," katanya secara berseloroh.Yeoh yang memulakan kerjayanya di Hong Kong sebelum bergelar bintang Hollywood berkata beliau sedang meninjau cabaran baharu dalam kerjayanya termasuk sebagai penerbit, namun menegaskan bahawa beliau tidak berminat untuk menjadi pengarah.
"Pengarah tidak mempunyai kehidupan. Saya terlalu sayangkan hidup saya, saya suka jadi penerbit, pernah menjadi penerbit sebelum ini, dan sekarang saya boleh mula kembali melakukannya... kini saya boleh mempelbagaikan lagi penerbitan, kerana orang ramai sudah mula mendengar, dan menghargai apa yang anda boleh tampilkan.
"Sebagai seorang pelakon, saya suka dengan apa yang boleh saya lakukan. Saya sangat bertuah kerana dapat mengatakan bahawa lakonan bukan pekerjaan semata-mata, ia adalah suatu cetusan rasa minat yang mendalam. Saya juga sentiasa sukakan cabaran," katanya.
Yeoh mencipta sejarah tersendiri bulan lepas apabila menjadi rakyat Malaysia dan warga Asia pertama memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi ke-95.
Beliau disanjung dengan anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam melakonkan peranan utama, bagi filem 'Everything Everywhere All at Once' pada majlis anugerah paling berprestij Hollywood itu di Teater Dolby di Los Angeles.
Selain anugerah Oscar, Yeoh turut memenangi anugerah kategori yang sama di beberapa acara lain termasuk Anugerah Golden Globe ke-80 dan Anugerah Screen Actors Guild (SAG). - Bernama.