37 lokasi 'hotspot' di Perak dalam pemerhatian

Iklan
Mohd Yusri menyantuni pengguna jalan raya sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan pada Selasa.

IPOH - Sebanyak 37 lokasi panas membabitkan kesesakan dan kemalangan di Perak sudah dikenal pasti dan dalam pengawasan bagi memastikan keselamatan pengguna sepanjang musim perayaan ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, laluan itu membabitkan Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan Lebuhraya Utara Selatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara laluan terlibat adalah di lampu isyarat Plaza Tol Simpang Pulai dan Plaza Tol Slim River; Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Kuala Kangsar; Jalan Ipoh-Kuala Lumpur; Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang; Jalan Ipoh-Lumut; Jalan Sitiawan-Lumut dan Kilometer 25 Kuala Kangsar.

"Tahun ini, polis telah mendapatkan kerjasama daripada anggota Rela. Jadi mereka ini akan ditugaskan membantu memastikan aliran trafik lancar terutama di persimpangan jalan raya dan kawasan lampu isyarat yang dikenal pasti itu," katanya.

Iklan
Mohd Yusri ketika bercakap kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini pada Selasa.

Op Lancar digerakkan secara serentak di seluruh negara bermula 17 hingga 19 April manakala Op Selamat 20 pada 20 April sehingga 27 April.

Iklan

Mohd Yusri berkata, peningkatan lalu lintas antara 20 hingga 30 peratus kenderaan dijangka berlaku berbanding hari biasa di semua laluan utama di negeri ini.

Katanya, untuk memastikan kelancaran pergerakan, seramai 79 pegawai kanan dan 476 pegawai rendah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak terlibat dalam penugasan keselamatan.

Mohd Yusri (tiga dari kanan) menyempurnakan perasmian Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Ipoh Selatan pada Selasa.

"Berdasarkan statistik kemalangan Op Selamat 18 tahun lalu, penunggang motosikal menjadi penyumbang kemalangan tertinggi dengan 10 kematian daripada keseluruhan 12 kes.

"Tahun lepas sebanyak 1,723 kes kemalangan telah direkodkan. Daripada jumlah itu, 1,230 kes melibatkan pemandu kereta diikuti penunggang motosikal 186 kes dan kenderaan berat seperti bas dan lori sebanyak 45 kes," katanya.