SELANGOR FC merakam kemenangan Liga Super keempat berturut-turut sambil menghadiahkan kekalahan terbesar buat Terengganu selepas berpesta gol meraih kemenangan 5-1 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam Selasa.
Terengganu bermula baik seawal 10 minit pertama dengan penyerang import, Jordan Mintah hampir meletakkan pasukan pelawat bimbingan Tomislav Steinbruckner di hadapan, namun sepakan percumanya pada minit ke-11 tepat ke palang gol.
Pertahanan kurang kemas skuad Penyu mengundang padang apabila Selangor berjaya meledak dua gol dalam tempoh kurang daripada lima minit masing-masing menerusi penyerang, Ayron Del Valle, pada minit ke-17 dan bekas pemain sayap Terengganu, Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-21.
Skuad Gergasi Merah terus melebarkan penguasaan, kali ini giliran pemain pertahanan muda Harith Haiqal Adam Afkar mencetak nama sebagai penjaring selepas dia yang tidak dikawal bijak menyambar bola sepakan penjuru rakan sepasukan pada minit ke-40.
Ketinggalan 0-3, Terengganu berjaya mengurangkan defisit gol pada minit ke-61 menerusi tandukan penyerang gantian Ivan Mamut, namun Ayron terus menghukum kepincangan barisan pertahanan lawan apabila mudah melepasi perangkap ofsaid untuk menjaringkan gol keempat Selangor pada minit ke-70.
Pemain tengah gantian Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau memastikan kejayaan manis skuad kendalian Tan Cheng Hoe dengan gol kelima pada minit ke-84 selepas melepaskan rembatan leret yang deras dari jarak dekat.
Selangor kini di posisi kedua dengan mengumpul 22 mata selepas sembilan perlawanan dan dibezakan dua mata dengan pendahulu yang juga juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), yang akan berdepan PDRM, di sini malam Rabu, sementara Sri Pahang ketiga mengutip 19 mata.
Sementara itu, di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang, Penang mencatat kemenangan kedua berturut-turut selepas mengatasi Kelantan United 2-0 sekali gus menyaksikan pasukan pelawat terus buntu menemui kemenangan pertama musim ini.
Dua gol skuad bimbingan Manzoor Azwira Abd Wahid masing-masing disumbangkan Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-48 dan kapten Rafael Vitor pada minit ke-58.
Dalam pada itu, jaringan tunggal perlawanan pemain tengah Muhamad Nor Azam Abdul Azih pada minit ke-57 membantu Sri Pahang membawa pulang tiga mata berharga selepas menewaskan Kuching City 1-0 di Stadium Negeri, Kuching. - Bernama