MARANG - Hasrat ingin membangkitkan nostalgia pelita raya berjaya mengubah kehidupan seorang bapa apabila dia kini mampu meraih pendapatan menerusi hasil jualan pelita buluh yang dihasilkan.
Mohamad Azmizan Abdul Ghani, 39, dari Kampung Merchang di sini berkata, pelita buluh mula dihasilkannya sejak tiga tahun lalu iaitu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
"Saya juga bersyukur sebab pendapatan yang diperoleh setakat ini sangat berbaloi malah boleh kongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.
Mohamad Azmizan yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, bermula dengan hanya menempah sebatang buluh untuk dijadikan pelita, jualan pelita buluh yang diusahakan kini mendapat permintaan tinggi.
"Permintaan dari tahun ke tahun semakin banyak dan saya tidak menang tangan. Sekarang ni tempah 200 batang buluh sehari pun masih belum mencukupi kerana menerima banyak tempahan daripada pelanggan.
"Masa tahun pertama jualan tak sampai 500 batang. Untuk tahun lepas sahaja kita terima lebih 1,000 unit tempahan yang setiap satunya dijual dengan harga serendah RM13.
"Dari segi pulangan pula, kalau saya bawa lori boleh dapat dalam RM3,000 ke RM4,000 sebulan, yang ini lebih lagi.
"Jadi saya pelawa orang lain yang mana hasil pendapatannya terganggu boleh cuba. Saya sendiri pun tak sangka jualan ini dapat sambutan hangat dan dapat tampung perbelanjaan sehingga dua, tiga bulan,” katanya.
NASIB BERBEZA PENIAGA DI KELANTAN
Dalam pada itu, nasib berbeza buat peniaga pelita buluh di Ketereh, Kota Bharu, KELANTAN apabila dia mengakui jualannya kurang memberangsangkan pada tahun ini.
Usahawan pelita buluh dari Kampung Membatu, Siti Abibi Rasid, 40, berkata, setakat minggu akhir Ramadan ini, dia hanya berjaya menjual sekitar 60 unit sahaja setakat ini.
"Jika dibandingkan tahun lalu, kami berjaya menjual lebih 1,000 unit.
"Ramai pelanggan memberitahu mereka terpaksa berjimat kerana wang sudah dihabiskan untuk persiapan sekolah anak, sambut Ramadan dan ada yang diuji musibah banjir,” katanya.
Menurutnya, lebih menyedihkan lagi apabila pelita buluh buatan suaminya, Maskuri Mat Zahid, 41, yang tampil dengan rekaan terbaharu iaitu bertingkat serta mudah dilaras gagal terjual.
Bagaimanapun ibu kepada lima orang anak itu reda dengan keadaan tersebut walaupun sudah berpenat lelah menyiapkannya dan mengharapkan rezeki Ramadan.