Cuaca panas, jerebu: Hadkan aktiviti luar

Iklan
Pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari adalah perlu bagi mengekalkan tahap hidrasi ketika cuaca panas. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Orang ramai yang berada di kawasan yang merekodkan kualiti udara tidak sihat atau cuaca panas dinasihati agar menghadkan aktiviti fizikal lasak.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, tempoh berada di luar bangunan juga perlu dihadkan bagi mengelakkan pendedahan kepada cuaca panas dan jerebu.

Iklan
Iklan

"Gunakan pelitup muka bersesuaian jika jerebu dan pelindung diri seperti payung dan topi bagi mengelakkan pendedahan secara langsung kepada cuaca panas.

"Tutup tingkap bagi mengurangkan partikel jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Dr Zaliha berkata, pengambilan air kosong sekurang-kurangnya lapan gelas sehari adalah perlu bagi mengekalkan tahap hidrasi badan yang berperanan penting untuk mengawal atur suhu badan.

"Kerapkan mandi bagi menyejukkan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.

Iklan

"Gunakan alat penyaman udara dan penapis udara yang berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar jika berkemampuan," katanya.

Menurutnya, sekiranya tidak sihat, orang awam disarankan agar segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat.

Semakan di laman sesawang sistem pengurusan indeks pencemaran udara (APIMS) setakat jam 8 pagi tadi, seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana.