Pemain Kedah kurang bersungguh - Nafuzi

Iklan
Barisan pertahanan KL City berjaya mematahkan beberapa asakan bahaya KDA FC pada aksi Liga Super 2023 pada malam Selasa. FOTO MFL

PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain melihat kegagalan pemainnya memberikan aksi terbaik pada perlawanan kesembilan Liga Super 2023 menjadi punca tewas 2-3 kepada Kuala Lumpur City (KL City) pada malam Selasa.

Menurutnya, sejak awal permainan lagi pelawat sudah mendominasi perlawanan di Stadium Darul Aman dan beliau melihat kesungguhan Sang Kenari belum cukup untuk keluar sebagai pemenang.

Iklan
Iklan

"Pasukan kita terutamanya di posisi pertahanan terlalu mudah (bolos) apabila KL City menyerang kembali kita dalam situasi bahaya.

"Saya rasa kita bernasib mendahului (separuh masa pertama 2-1) walaupun sebenarnya kita tidak bermain dengan baik. Pada separuh masa kedua terlalu awal untuk kita bolos, jadi ia memberikan tekanan kepada kita apabila terikat 2-2.

Iklan

"Kesilapan individu di barisan pertahanan dan terlalu senang melepaskan gol, kita tidak cukup bagus pada malam ini, kita mencuba sehingga tamat perlawanan, tahu pemain mahu menang tapi kesungguhan, keyakinan bermain kita kurang," katanya pada sidang akhbar di Stadium Darul Aman pada malam Selasa.

Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, kegagalan KDA FC bergerak sebagai satu pasukan juga untuk membantu di antara satu sama lain semasa kubu diasak oleh pasukan pelawat menjadi punca mereka gagal meraih mata di laman sendiri.

Iklan

Menurutnya, sukar buat pasukan tersebut untuk bersaing di kelompok atasan liga super berdasarkan prestasi yang ditunjukkan pada masa ini.

"Untuk bersaing di kelompok tiga teratas selepas tewas tiga empat perlawanan agak sukar, kita tahu baki perlawanan liga super masih banyak lagi tapi kita kena buat sesuatu dan kelemahan perlu dibaiki," ujar beliau lagi.

Jelasnya, KDA FC perlu mengelak untuk bolos lagi dengan jaringan besar pada aksi seterusnya jika mahu terus berada pada kelompok atasan liga super.

"Bersaing di kelompok atasan yang penting kita tidak bolos. Jika gagal menjaringkan gol, kita seri, tidak tewas boleh selamatkan satu mata. (Sekarang ini) begitu sukar kita menjaringkan gol tapi mudah pula kita melepaskan gol," kata Nafuzi.

Sang Kenari kini berada di tangga keempat liga super dengan 16 mata selepas lima menang, satu seri dan tiga tewas manakala KL City memperbaiki kedudukan ke tangga ketujuh dengan 12 mata selepas tiga menang, tiga seri dan dua tewas.