KUALA TERENGGANU - Keceriaan jelas terpancar dari raut wajah kira-kira 400 penduduk di daerah Besut yang menerima sumbangan sebagai persediaan menyambut kedatangan lebaran tidak lama lagi.
Sumbangan peribadi oleh ahli perniagaan, Datuk Amran Hussain itu disampaikan menerusi dua majlis berasingan yang diadakan pada Isnin dan Selasa lalu di Kuala Besut dan Pulau Perhentian.
Menurut Amran, sumbangan itu bertujuan mengurangkan bebanan ekonomi mereka yang terkesan akibat perubahan ekonomi kesan Covid19 serta banjir besar yang melanda daerah itu pada Disember tahun lalu.
"Kekangan ekonomi yang berlaku buat masa ini menyebabkan ada antara kita yang merasa perit lebih-lebih lagi untuk membuat persediaan menyambut perayaan.
"Jadi, kali ini saya cuba untuk hilangkan kesedihan mereka dengan memberikan sedikit sebanyak sumbangan.
"Syukurlah. Ramai yang gembira malah ada juga antara mereka yang menyatakan itu adalah pertama kali menerima sumbangan sedemikian," ujarnya.
Amran memberitahu, seramai 200 orang penduduk di Kuala Besut menerima sumbangan biskut raya manakala 50 orang asnaf lagi menerima sumbangan duit raya dalam majlis diadakan pada Isnin.
Selain itu, katanya, seramai 120 orang penduduk di Pulau Perhentian menerima sumbangan biskut raya dan 30 orang asnaf menerima duit raya pada Selasa.
Beliau yang merupakan anak jati Besut berkata, butiran penerima sumbangan diperoleh daripada pemimpin setempat.
"Untuk pemilihan penerima sumbangan terutama asnaf ini saya mendapat kerjasama dari pemimpin setempat dan ia disampaikan kepada semua peringkat usia," katanya.