Polis Amerika Latin rampas dadah bernilai lebih RM22 bilion

Iklan
Pasukan polis dari 15 buah negara terlibat dalam operasi Trigger IX. - Foto Interpol

BUENOS AIRES - Polis di Amerika Latin berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas pelbagai jenis dadah termasuk kokain bernilai AS$5 bilion (RM22.2 bilion) dalam satu operasi melibatkan 15 buah negara selama tiga minggu.

Turut dirampas, 8,000 senjata api dan pada masa sama, polis melakukan sebanyak 15,000 tangkapan.

Iklan
Iklan

Pasukan polis dari Mexico dan Argentina bertukar maklumat dalam operasi berkenaan yang diatur oleh Interpol.

Interpol berkata, tangkapan berkenaan berjaya mematahkan operasi beberapa geng kongsi gelap yang berkuasa.

Iklan

Digelar 'Trigger IX', tujuan utama operasi peringkat antarabangsa itu ialah memerangi sindiket penyeludupan senjata api rentas negara.

Beberapa pakar dari negara yang mengambil bahagian berkumpul di Foz do Iguacu, Brazil berdekatan dengan sempadan negara itu bersama Argentina dan Paraguay, dari 12 Mac hingga 2 April lepas.

Iklan

Interpol sudah lama memberi amaran aktiviti menyeludup senjata api menjadikan kumpulan kongsi gelap semakin berkuasa dan membolehkan mereka menjalankan aktviti jenayah dengan mudah.

"Operasi yang memberi tumpuan kepada penyeludupan senjata api membawa kepada rampasan dadah begitu banyak.

"ini membuktikan kedua-dua jenayah ini berkait antara satu sama lain," kata Setiausaha Agung Interpol, Jurgen Stock merujuk kepada rampasan 203 tan dadah pelbagai jenis. - Awani