Kemarau jejas bekalan air di Kelantan

Iklan
Gambar hiasan. - Foto 123RF

KOTA BHARU - Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil langkah proaktif menggali terusan bagi menambah isi padu pengambilan air mentah daripada Telaga Pengumpulan Jejari (HCW) Semuba, Pasir Mas dalam persediaan menampung keperluan air pada Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Unit Komunikasi Korporat Pejabat Pengurus Besar AKSB dalam satu kenyataan memberitahu kerja-kerja dilakukan bagi mengatasi penyusutan air mentah di Loji Rawatan Air (LRA) Kelar dan dijangka dapat menampung pengurangan sebanyak 17 juta liter sehari (JLH).

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, AKSB juga akan menambah bilangan lori tangki dan lori air kontrak untuk memenuhi permintaan di kawasan yang mempunyai permintaan bekalan tinggi seperti di Apam, Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

"Bagi menampung keperluan untuk LRA Chicha dan Perol, sebanyak 12 lori tangki air serta lori air kontrak ditambah sebanyak sebuah.

Iklan

"Selainnya, kesemua LRA AKSB beroperasi dengan kapasiti maksimum iaitu pengeluaran air melebihi 500 JLH,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Kerja-kerja penyelenggaraan berjadual di LRA-LRA yang boleh menyebabkan pengurangan pengeluaran akan ditunda dan stok bahan kimia akan dipastikan mencukupi bagi pengoperasian loji.

Iklan

"Sebanyak 388 buah tangki statik bersaiz 500 hingga 2,000 gelen ditempatkan di seluruh jajahan iaitu di kawasan bertekanan rendah dan sering mengalami gangguan bekalan air.

"AKSB turut menyediakan sembilan lori tangki air milik AKSB dan 31 buah lori air kontrak di seluruh jajahan dengan tambahan enam buah lagi lori tangki air kontrak bagi Kota Bharu Selatan, Kota Bharu Timur, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok,” katanya.

Mengikut kenyataan itu, musim kemarau sejak 1 Ramadan menyebabkan penyusutan air amat ketara di LRA Kelar dan Chicha yang menyebabkan penerobosan air masin di HCW Pasir Tumbuh.

"Kandungan klorida dalam air tinggi dan pengambilan air sungai terpaksa dihentikan.

"LRA Chicha mengalami penyusutan kira-kira 11 JLH selain telaga runtuh di LRA Perol turut menyebabkan kurang air mentah untuk dirawat sebanyak lebih kurang 2 JLH,” katanya.

Masa operasi talian aduan pada hari pertama raya ialah 10 pagi hingga 10 malam manakala hari kedua dan seterusnya pada 8 pagi hingga 10 malam.

"Kaunter aduan ditutup untuk sementara bermula hari pertama Aidilfitri hingga hari ketiga dan akan beroperasi semula pada hari keempat.

"Talian Pintas 15777, WhatsApp ke 019-5755777 atau e-mel ke pintas@airkelantan.com.my atau muat turun aplikasi MyAKSB melalui Google Play Store dan App Store untuk mendapatkan maklumat mengenai bekalan AKSB,” katanya.