Rumah tak siap, duit lesap

Iklan
Zainol D'zul Hafiz Zainal(tengah) menunjukkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

KLANG -"Rumah impian kami sekeluarga untuk berhari raya hanya tinggal tapak dan harapan sahaja." Demikian luah seorang individu yang mendakwa menjadi mangsa penipuan kontraktor sejak Oktober tahun lalu.

Bukan itu sahaja, malah wang baik pulih rumah sebanyak RM205,800 turut lesap di tangan kontraktor yang dilantik.

Iklan
Iklan

Zainol D'zul Hafiz Zainal berkata, semuanya bermula apabila keluarganya menggunakan khidmat kontraktor berasal dari Kelantan pada Oktober tahun lalu

"Syarikat itu diperkenalkan adik ipar saya yang turut menggunakan khidmat syarikat itu bagi pembinaan rumahnya," katanya dalam sidang akhbar di Taman Sri Andalas, Jalan Seri Sarawak dekat sini pada Rabu.

Iklan

Menurutnya, syarikat kontraktor itu kemudiannya telah merobohkan rumah mereka dengan alasan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Rumah ini merupakan rumah ibu dan ayah saya yang dibeli sekitar tahun 1987, sebelum ini pernah juga rumah ini diubah suai sehinggalah kontraktor terbabit diupah selepas terdapat keretakan pada bahagian belakang rumah.

Iklan

"Mereka (kontraktor) datang robohkan seluruh bangunan rumah, selepas itu tiada sebarang kerja dilakukan," katanya.

Dia berkata, kontraktor terbabit memberhentikan kerja hampir seminggu dengan pelbagai alasan.

Kontraktor merobohkan rumah milik mereka sekeluarga kononnya untuk kerja pengubahsuaian sebelum menghilangkan diri.

"Bayangkan mereka sekadar roboh rumah semata-mata, bila ditanya mereka kata ada masalah kekurangan pekerja, tiada beberapa bahan asas membuat rumah dan pelbagai alasan lain yang dangkal.

"Mereka memaksa saya agar membayar wang pendahuluan untuk pembinaan, pelan lukisan arkitek dan lain lain urusan. Jika saya tak bayar wang pendahuluan, mereka akan hentikan kerja-kerja pembinaan.

"Kami cemas ketika itu dan membuat pembayaran kepada seorang individu sebanyak RM205,800 secara berperingkat," katanya.

Bagaimanapun, tindakan jahat kontraktor terbabit akhirnya terbongkar apabila pihak PBT menampal notis saman kerana melakukan pengubahsuaian tanpa sebarang kelulusan selepas rumah dirobohkan.

"Saya amat terkejut apabila mendapati pihak kontraktor sebenarnya langsung tak hantar pelan binaan untuk kelulusan, malah pelan arkitek juga adalah pelan tiruan dan tidak mengikut spesifikasi,"jelasnya.

Zainol D'zul berkata, laporan berkaitan kes ini telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut.

"Saya tak harapkan banyak cuma mahu keadilan buat kami sekeluarga, apa yang kami lalui dan alami ini adalah satu penganiayaan.

"Bukan sahaja kehilangan tempat tinggal malah kami sekeluarga kini terpaksa menyewa di Setia Alam dan pada masa sama agak sedih kerana tidak dapat beraya di rumah baharu," katanya.

Sementara itu, adik iparnya, Mohd Azahari Ahmad, 33, berkata, diaa turut menjadi mangsa kontraktor sama apabila rumah yang dibina gagal disiapkan sejak Ogos lalu.

"Rumah setingkat saya di Kampung Rantau Panjang sepatutnya siap Februari lalu namun proses pembinaan hanyalah setakat dinding batu.

"Saya mengalami kerugian lebih RM88,000 selain rumah terbabit kini terbiar dan gagal untuk disiapkan," ujarnya.