MERBOK - Syawal tahun ini disambut penuh keceriaan buat sebuah keluarga yang sebelum ini tular kerana berteduh dalam bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, di sini.
Jamil Ahamad, 35, menganggap rumah sewa baharu diterima itu sebagai rezeki anak ketiga yang bakal lahir bulan hadapan selain kegembiraan buat dua anak perempuan yang berusia empat dan lima tahun.
Menurutnya, isteri yang kini sarat mengandung juga boleh berehat dengan selesa sementara menunggu kelahiran anak ketiga.
"Walaupun malu menjadi perhatian namun saya bersyukur dengan semua rezeki ini dan berterima kasih kepada pihak yang membantu," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Jariah Qaseh Malaysia, Natipah Abu yang menguruskan perpindahan keluarga Jamil menjelaskan, bayaran sewa selama tiga bulan pertama dibiayai Lembaga Zakat Negeri Kedah dengan kadar RM350 sebulan.
Jamil juga ditawarkan bekerja sebagai pekerja kebersihan masjid di Murtadha Dakwah Centre (Madad) yang diuruskan Pengarah Urusannya, Mohammad Yaakub Yusra.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kisah sepasang suami isteri bersama dua anak perempuan yang berteduh bawah bangsal kereta di Kampung Sungai Batu, Merbok, Kedah berikutan tidak mampu membayar sewa yang banyak tertunggak.
Jamil bersama isteri yang sarat mengandung, Siti Norshahira Nabila Hamzah, 28, anak mereka, Nur Iman Arissa, 5 dan Nur Amani Arisha, 4, terpaksa berteduh di bawah bangsal buat sementara waktu selepas berpindah dari rumah sewa di Seberang Perai Utara, dua minggu lalu.