POKOK SENA -"Salam sesuci lebaran untuk ibunda tercinta. Assalamualaikum dan salam Aidilfitri untuk ibu tersayang. Di kesempatan pada hari yang mulia ini, Amir mengucapkan selamat menyambut hari raya Aidilfitri buat mak dan seluruh ahli keluarga kita.
"Semoga hari raya kali ini memberi 1,000 erti buat mak. Amir mohon keampunan daripada mak, Amir sedar banyak buat salah. Setiap kali solat, Amir tidak pernah untuk lupa untuk mendoakan kesihatan dan dipermudahkan segala urusan mak," kongsi Amir, 22, melalui kad raya yang ditulis untuk ibunya.
Amir yang menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena atas kesalahan berkaitan dadah tidak menyangka dapat mencipta kenangan manis apabila dilepaskan lebih awal untuk menyambut Syawal bersama ibunya tercinta.
"Saya sepatutnya dilepaskan pada 8 Mei depan, tidak sangka dan rasa bersyukur apabila dilepaskan lebih awal sebab ingat lambat lagi keluar.
"Jadi, saya hendak minta ampun dan maaf dekat mak," katanya ketika ditemui pemberita pada program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 di Penjara Pokok Sena, di sini, pada Rabu.
Amir yang merupakan anak kedua dari tiga beradik menganggap pelepasan keluar itu sebagai satu hadiah untuk menyambut Aidilfitri beberapa hari lagi.
Menurut pekerja kedai makan itu, dia belajar banyak ilmu dan pengalaman baharu terutamanya berkaitan agama sepanjang menghuni Penjara Pokok Sena selama beberapa bulan.
Bagi Din, 62, yang telah kehilangan isteri tercinta pada 2021 pula, dia akan meraikan lebaran kali ini bersama anak menantu dan cucunya di Kuala Kedah sahaja.
Din yang merupakan penghuni lelaki tertua dilepaskan melalui PBSL sempena Hari Raya Aidilfitri memberitahu pernah meraikan lebaran di penjara dari tahun 2008 hingga 2010.
Bapa kepada empat anak berusia 17 hingga 37 tahun itu mengakui terkejut apabila dimaklumkan akan dilepaskan lebih awal sekali gus mengharapkan ini hukuman kali terakhir buat dirinya.
"Memang seronok hingga tidak tidur selama tiga malam. Apabila balik, saya hendak jumpa dua cucu yang berusia tujuh dan sembilan tahun," katanya.
Menurut penghuni yang telah 13 kali menjalani hukuman penjara atas kesalahan berkaitan dadah itu, dia telah insaf dan berhasrat memulakan kehidupan baharu di Perak selepas ini.
"Saya harap selepas balik ini akan buat kerja elok-elok dan dapat turun semula ke laut," katanya yang menyara hidup sebagai nelayan.
Seorang lagi penghuni dikenali sebagai Shah, 21, berkata, perkara pertama ingin dilakukan apabila dapat pulang berhari raya tahun ini adalah bersalaman dan bertemu dengan ahli keluarganya.
Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, dia bersyukur dan gembira apabila berpeluang menyambut Syawal bersama keluarga tidak lama lagi.
"Paling saya rindu sekali untuk ikut keluarga pergi menziarahi rumah sanak saudara, apabila dapat peluang itu rasa gembiralah," katanya.
Shah yang menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan berkata, dia tidak menjangkakan akan dilepaskan awal hingga namanya dipanggil dan dimaklumkan berita gembira itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Penjara Pokok Sena, S Tanabal berkata, seramai 14 banduan dilepaskan secara berlesen selepas menepati syarat-syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, antaranya, banduan perlu menjalani ujian ditetapkan oleh pegawai psikologi, mampu untuk perjalanan dan paling penting, pihak keluarga menerima banduan pulang ke rumah ataupun kampung halaman mereka," katanya.
Menurutnya, pelepasan secara berlesen ini adalah bagi membolehkan mana-mana banduan menjalani hukuman singkat bawah setahun yang menepati syarat untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga mereka.
Dalam perkembangan sama, beliau menasihatkan banduan terpilih mematuhi syarat ditetapkan apabila dilepaskan seperti tidak boleh keluar daerah serta tidak boleh menjalankan aktiviti-aktiviti melanggar undang-undang seperti terlibat dengan aktiviti dadah, pelacuran dan sebagainya.