PETALING JAYA - Polis akan melakukan siasatan dalaman terhadap anggota polis peronda yang didakwa mengeluarkan saman ke atas individu gagal mempamerkan cukai jalan dalam kejadian di Jalan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang individu di Facebook berhubung gambar memaparkan saman polis yang dikeluarkan terhadapnya.
Menurutnya, semakan mendapati saman itu dikeluarkan oleh anggota polis peronda pada 16 April lalu atas kesalahan gagal mempamer cukai jalan di lokasi berkenaan.
"Arahan sudah dikeluarkan kepada petugas di lapangan untuk tidak mengeluarkan saman berkaitan kesalahan tidak mempamer Lesen Kenderaan Motor (LKM).
"Ia selepas arahan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan melalui Menterinya, Anthony Loke pada 10 Februari lalu.
"Siasatan dalaman akan dibuat ke atas anggota terbabit di atas kecuaian dilakukan dan kita sudah membatalkan saman berkenaan," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.