KOTA KINABALU - Seramai 16 penghuni Penjara Pusat Kota Kinabalu dan Penjara Wanita Kota Kinabalu tidak menyangka dilepaskan lebih awal daripada tempoh hukuman mereka menerusi Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) yang dilaksanakan di seluruh negara.
Lebih manis lagi, empat daripada banduan yang beragama Islam turut berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga masing-masing pada 1 Syawal nanti.
Menurut salah seorang penghuni dikenali sebagai Hafiz, 26, dia tidak menyangka diberi pelepasan lebih awal berbanding tempoh hukuman sepatutnya sehingga September depan.
"Saya gembira apabila dimaklumkan bahawa akan mendapat pelepasan lebih awal daripada tempoh hukuman malah tidak menyangka sama sekali diberi peluang menyambut hari raya bersama anak dan isteri.
"Inilah kali pertama saya terpisah begitu lama dengan keluarga selepas dijatuhkan hukuman kerana terlibat dengan dadah pada Januari lalu. Saya harap peluang yang diberikan dapat mengubah hidup saya yang lebih baik," katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Mini Penjara Pusat Kota Kinabalu pada Rabu.
Sementara itu, isterinya dikenali sebagai Lisa, 23, berharap suaminya itu akan berubah lebih baik dan tidak kembali ke penjara itu lagi.
"Disebabkan terpengaruh dengan kawan menyebabkan dia terjerumus dengan najis dadah dan dipenjarakan sejak hampir empat bulan.
"Saya memang kecewa dan penat kerana terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara keluarga sehingga melakukan dua pekerjaan dalam waktu yang sama. Jadi saya harap selepas ini, suami tidak mengulangi kesilapannya yang boleh menyebabkan hubungan kami terjejas," katanya.
Seorang lagi penghuni dikenali sebagai Mariam, 24, berkata, perkara pertama yang mahu dilakukan pada Syawal ini adalah melawat kubur ibu dan bapanya.
"Selama beberapa bulan di dalam penjara, perkara paling saya rindu adalah bersama keluarga dan saya mahu menunaikan ibadah puasa bersama adik-beradik yang lain.
"Ketika dipenjaralah baru saya tahu cara untuk berpuasa, mengaji dan solat. Inilah hikmah terbesar saya dimasukkan di sini.
"Jadi selepas ini saya mahu teruskan berpuasa yang berbaki dua hari lagi bersama keluarga dan Syawal nanti saya mahu melawat kubur kedua ibu bapa saya," katanya yang sudah serik dikenakan hukuman penjara.
Mariam memaklumkan dia sepatutnya dibebaskan pada 24 Julai depan kerana kesalahan mengambil dadah jenis syabu.
"Saya ditahan ketika mengambil dadah di tempat kerja bersama rakan namun rakan saya sempat melarikan diri.
"Saya terjerumus dengan dadah sejak lima tahun lalu dan ini kali pertama saya ditangkap. Saya memang menyesal dan berjanji tidak akan terjebak lagi dengan najis dadah. Malah saya hanya mahu bekerja untuk membantu meringankan beban keluarga," katanya.
Sementara itu, Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu, Kesumawati Ilas berkata, program itu bertemakan kepulangan yang dinanti yang dijalankan secara serentak di institusi penjara seluruh negara.
"Bagi penjara wanita kita ada seorang sahaja penghuni yang dilepaskan manakala 15 lagi daripada Penjara Pusat Kota Kinabalu. Ia diberikan kepada mereka yang melepasi kriteria atau syarat iaitu penghuni di bawah tempoh hukuman pemenjaraan kurang daripada satu tahun dan ia berasingan dengan program parol selain melepasi fasa satu iaitu fasa pemulihan.
"Rata-rata mereka yang dilepaskan ini adalah melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Menurut Timbalan Pengarah Penjara Pusat Kota Kinabalu, Mohammad Sa'ad Bantalani, menerusi program ini dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan membabitkan sumber tenaga penjara serta kesesakan di dalam penjara.
"Jika diikut statistik, Sabah adalah penyumbang terbesar bagi pelaksanaan PBSL dan ini juga sekali gus dapat mengatasi kepadatan yang berlaku di Penjara Pusat Kota Kinabalu.
"Kalau diikut kapasiti selesa di penjara pusat, hanya seramai 1,329 banduan ditempatkan namun sehingga hari ini kita telah mencapai seramai 2,576 banduan, jadi berlaku kepadatan yang sangat membimbangkan.
"Namun setakat ini situasi masih dalam kawalan dan kita percaya program pemulihan di dalam penjara itu sendiri masih berjalan dengan baik," katanya.