ALOR SETAR - Usaha untuk menaik taraf infrastruktur air di Kedah telah dirancang sejak 2010 lagi melalui penubuhan Syarikat Air Darul Aman (SADA) berdasarkan audit kedudukan semasa dan unjuran keperluan masa depan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan sudah mengenal pasti dan memuktamadkan langkah yang wajib bagi mengatasi air tidak berhasil (NRW), penggantian paip utama dan keperluan Loji Rawatan Air (LRA) baru sejak 2013.
Menurutnya, selepas melalui proses rundingan harga dan rundingan aspek teknikal, kerajaan Pusat setuju memberi geran dan pinjaman untuk lima LRA baharu berjumlah RM931 juta.
"Selepas itu, iklan pembinaan dikeluarkan namun berlaku pula Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pertukaran kerajaan.
"Atas dasar sangsi dan kurang percaya kepada keputusan kerajaan sebelum PRU14 pada 2018, iklan tender ditarik balik, konsultan baharu dilantik untuk kaji langkah atasi masalah air dan kos yang wajar," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasmi beliau pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, kelewatan kerja naik taraf infrastruktur air adalah disebabkan perubahan kerajaan negeri pada 2018 yang bertindak mengkaji semula projek tersebut.
"Selepas lebih kurang 20 bulan menjalankan kajian, konsultan mengemukakan dapatan mereka sama seperti keputusan sebelum PRU14 iaitu lima LRA baharu dengan kos yang sama RM931 juta.
"Iklan tender pun dikeluarkan semula, sama dengan yang lama. Akibatnya projek tertangguh 20 bulan dan ada kos kena bayar caj konsultan berjumlah ratusan ribu.
"Ini jasa kerajaan sebelum ini selain tinggalkan SADA beroperasi dalam kerugian RM36 juta pada 2019 dan hutang bertampuk RM174 juta," katanya.
Pada Selasa, media melaporkan kerajaan Kedah diminta memperjelaskan status pembangunan LRA di negeri ini susulan masalah bekalan air bersih masih gagal diselesaikan sehingga kini.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Muhammad Sanusi seharusnya bersikap telus dan berterus terang kepada rakyat dengan memberi gambaran tepat situasi terkini di tapak loji pemprosesan air Bukit Selambau dan Sungai Limau.