Vietnam kemas kini pemakaian pelitup muka di tempat awam

Iklan
Orang ramai diminta memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam yang berisiko tinggi menyebabkan penularan virus berkenaan. -Foto: AFP

HANOI - Hanoi mengemas kini panduan Covid-19 dengan meminta orang ramai memakai pelitup muka di tempat awam ketika jumlah jangkitan Covid-19 meningkat, lapor Xinhua memetik akhbar tempatan pada Rabu.

Iklan
Iklan

Orang ramai diminta memakai pelitup muka ketika menaiki pengangkutan awam yang berisiko tinggi menyebabkan penularan virus berkenaan, menurut kerajaan tempatan pada Selasa.

Pemakaian pelitup muka juga diwajibkan bagi pekerja di pasar raya, pusat membeli-belah dan pasar borong luar, yang sentiasa berhubung secara langsung dengan pelanggan.

Iklan

Pekerja di kawasan tertutup seperti bar, disko, karaoke dan rumah urut, salun kecantikan, gimnasium, restoran, pawagam, teater, sarkas dan gimnasium turut dikehendaki memakai pelitup muka.

Arahan itu juga diwajibkan ke atas kakitangan perkhidmatan, pengurus dan mereka yang bekerja di pusat kebudayaan dan tarikan pelancong serta tempat awam lain.

Iklan

Pihak berkuasa kesihatan tempatan dinasihatkan untuk terus berwaspada, memantau dengan teliti perkembangan wabak, bersiap sedia untuk tindak balas, mempercepatkan vaksinasi, dan mengukuhkan amalan keselamatan pandemik di tempat kerja, sekolah dan kemudahan penjagaan kesihatan.

Vietnam telah merekodkan penularan Covid-19 sejak sebulan lalu, daripada 278 kes pada minggu pertama April kepada 2,000 kes pada minggu kedua.

Hanoi dilaporkan paling terjejas dengan purata 96 kes sehari, menurut pusat kawalan penyakit di bandar itu. - Bernama-Xinhua