SEREMBAN - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi kerja di sebuah rumah di Port Dickson, dua hari lepas.
Pengarah JTK negeri, Roslan Bahari berkata, mangsa berusia 40 tahun itu, yang bekerja di rumah berkenaan sejak enam bulan lepas diselamatkan menerusi Op Sauvetage pada 9.30 malam berdasarkan aduan diterima daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) Kuala Lumpur.
Beliau berkata, wanita itu mendakwa gajinya tidak dibayar pada November dan Disember lepas atas alasan membayar balik kos membawa mangsa masuk ke negara ini dan hanya dibayar penuh bermula Januari lepas.
"Siasatan mendapati wujud indikator buruh paksa ke atas wanita itu dengan dia tidak bebas keluar sama ada dalam rumah atau luar rumah serta urusan permit juga dilewatkan sebagai langkah mengelakkannya lari, selain perlu bekerja 16 jam sehari.
"Ini merupakan tindakan manipulasi yang menakut-nakutkan mangsa dan dia turut tidak dibenarkan solat, berpuasa dan dipaksa memakan daging tidak halal sedangkan majikan cakna akan agama yang dianutinya,” katanya kepada pemberita di pejabat JTK negeri pada Rabu.
Roslan berkata, mangsa juga mendakwa dia ditawarkan untuk bekerja sebagai tukang cuci, tetapi sebaik tiba di rumah berkenaan dia perlu melakukan kerja pembantu rumah untuk keluarga majikan selain perlu mengemas rumah kenalan majikannya di sekitar kawasan itu.
Susulan itu, katanya, majikan mangsa berusia 47 tahun yang tinggal di Kuala Lumpur, dipanggil untuk membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Pindaan 2022).
Beliau berkata, mangsa seterusnya ditempatkan di rumah perlindungan di Kuala Lumpur sementara menunggu untuk dihantar pulang ke negara asal dengan kerjasama pihak kedutaan.
Roslan tidak menolak kemungkinan terdapat lagi kes seperti itu di negeri ini, selain menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara itu melaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
Menurutnya, JTK negeri tidak akan sesekali berkompromi dalam isu melibatkan pelanggaran mana-mana akta oleh majikan dan operasi penguatkuasaan akan terus dilaksanakan bagi memastikan keharmonian industri perburuhan negara terpelihara serta bebas daripada budaya buruh paksa.
Beliau berkata, setakat tahun lepas, seorang lelaki warga India dan wanita Indonesia turut diselamatkan dan telah dihantar ke negara asal masing-masing selepas terlibat dalam kes seumpama itu di daerah ini. - Bernama