Eksport lebih, bekalan kurang punca harga telur naik

Iklan
Harga telur di sebuah pasar mini di Kluang.
KLUANG – Eksport ke negara jiran secara berlebihan menyebabkan bekalan telur ayam berkurangan menjadi punca harga dinaikkan setiap minggu sehingga mencecah 43 sen hingga 46 sen sebiji bersamaan RM13 hingga RM13.80 sepapan untuk gred A.

Pekerja pasar mini di Kluang yang hanya dikenali Latif, 30, berkata, alasan itu digunakan pembekal setiap kali menghantar bekalan telur ke kedainya setiap minggu menyebabkan pihaknya tiada pilihan sehingga terpaksa menaikkan harga jualan.

"Minggu lepas, harga telur ayam dapat dijual sekitar RM12.90 hingga RM13.50 untuk 30 biji (satu papan), tetapi pada minggu ini harganya semakin naik di antara satu atau dua sen sebiji dan alasan diberikan adalah sama iaitu tidak cukup bekalan.

"Kenaikan ini tidak terhad kepada telur ayam gred A semata-mata, malah turut melibatkan gred B hingga D dengar kadar yang hampir sama menyebabkan ada kedai hanya menjual gred A sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, keadaan ini juga menyebabkan kesukaran untuk peniaga kecil menjual telur ayam ini malah kebanyakan pengguna memilih membeli di pasaraya-pasaraya besar kerana boleh didapati dengan harga jauh lebih murah.

Katanya, dia juga berharap kerajaan dapat membuat pemantauan terhadap pembekal-pembekal yang sesuka hati menaikkan harga jualan sesuka hati hingga menyusahkan peniaga runcit serta pengguna yang tidak dapat pergi ke pasaraya.

Sementara itu, Pengurus Operasi Pasaraya Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam ketika dihubungi berkata, pihaknya masih mengekalkan harga jualan telur pada kadar RM12.20 sepapan berbanding RM11.60 sebelum ini.

"Kami juga turut berhadapan dengan jawapan sama dari pembekal iaitu kekurangan bekalan menjadi punca utama bahan mentah ini terus naik walau pun membuat pembelian pada kadar yang banyak setiap minggu.

"Keadaan ini menyebabkan jualan telur ayam agak berkurangan sejak akhir-akhir ini kerana pelanggan terpaksa membuat penjimatan dan membeli keperluan pada kadar yang diperlukan sahaja,” katanya.