SHAH ALAM - Penganjuran Program Iftar Ala Madinah 2023 oleh Kumpulan Karangkraf bersempena bulan Ramadan yang bermula 24 Mac lalu, melabuhkan tirai dengan tembakan bunga api pada Selasa malam.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, beliau berasa amat bangga dan gembira kerana dapat berkongsi kemeriahan di bulan yang mulia itu bersama orang ramai.
Jelasnya, iftar pada tahun ini lebih meriah dengan kehadiran ramai pengunjung yang datang bersama rakan-rakan dan keluarga yang mahu merasai kelainan berbuka puasa.
"Alhamdulillah, selain sokongan pengunjung dan kakitangan Kumpulan Karangkraf sendiri, iftar kali ini juga berjaya mendapat kolaborasi daripada pelbagai syarikat seperti Wardah, Jasmine dan juga Aeon. Jadi, ia menjadi lebih bermakna.
"Program iftar yang dianjurkan ini juga berjaya menjadi medan merapatkan ukhuwah bukan sahaja dalam kalangan staf Kumpulan Karangkraf, tetapi juga sesama anggota masyarakat lain.
"Semoga, inisiatif ini menjadi pemangkin kepada rapat umum antara anggota masyarakat dengan Kumpulan Karangkraf,” ujar beliau kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sementara itu, pengunjung Mohd Aswadi Sulaiman, 45, berkata, Iftar Ala Madinah 2023 itu memberi satu pengalaman baharu buat dirinya.
"Selain berbuka puasa, saya juga berpeluang mendapat pelbagai jenis sumbangan barangan termasuk beras dan bekas ‘tupperware’. Jadi sangat baguslah, bukan sekadar acara makan-makan sahaja,” kata staf syarikat Proton tersebut.
Seorang lagi pengunjung, Muhamad Syahir Khairi, 26, berkata, suasana iftar anjuran Kumpulan Karangkraf mempunyai kelainan yang tersendiri berbanding acara berbuka puasa di tempat lain.
"Program ini lebih santai, duduk ramai-ramai sambil berbuka dapat tengok langit. Saya memang suka begitu kerana dapat menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi."Saya harap Kumpulan Karangkraf dapat meneruskan lagi program ini pada bulan Ramadan tahun depan,” katanya.
Berkongsi pandangan sama, Ajwad Kamarudin, 32, berharap Iftar Ala Madinah menjadi acara tahunan bagi memeriahkan buka puasa di Shah Alam.
"Yang datang bukan sahaja orang ramai tetapi juga dihadiri pegawai daripada agensi kerajaan lain. Banyak benda menarik dapat saya tengok.
"Saya harap ia dapat diteruskan lagi bagi meraikan ramai individu tanpa mengira latar belakang pendapatan,” katanya.