KUALA LUMPUR - AEON Big terus menceriakan anak-anak yatim dan asnaf di Selangor serta Kuala Lumpur menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.
Terbaharu, dengan kerjasama Malaysia Football Leaque (MFL), seramai 50 anak yatim dan asnaf dari Rumah Anak Yatim Jalinan Kasih diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Jalinan Kasih.
Pada program itu juga kesemua anak yatim dan asnaf dapat memilih sendiri baju raya di AEON Big Wangsa Maju di sini.
Pengarah Urusan AEON Big, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah tanda keprihatinan syarikat berkenaan untuk membantu golongan memerlukan khususnya anak-anak yatim dan asnaf meraikan hari lebaran dengan lebih bermakna.
"CSR sempena Ramadan ini merupakan inisiatif CSR AEON Big bagi menyantuni anak-anak yatim dan asnaf dengan program berbuka puasa dan menyumbang kelengkapan perayaan serta duit raya.
"Secara keseluruhan kira-kira 15 program dilaksanakan sepanjang Ramadan tahun ini dan setiap program diperuntukkan antara RM20,000 hingga RM30,000 termasuk membabitkan kerjasama pihak lain.
"Jika sebelum ini AEON Big bersama Majlis Perbandaran Kajang, kali ini kita bekerjasama dengan MFL dalam meraikan anak-anak yatim dan asnaf ini," katanya kepada Sinar Harian.
Sumbangan itu disampaikan Sheikh Farouk dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.
Sheikh Farouk berkata, AEON Big sentiasa terkehadapan dalam program CSR bagi membantu golongan memerlukan pada setiap tahun malah turut menghargai pelanggan syarikat dengan pelbagai tawaran menarik.
"Antaranya ramai peminat sukan bola sepak Malaysia menjadi pelanggan AEON Big jadi kita menawarkan potongan harga menarik kepada mereka bagi meraikan kerjasama bersama AEON Big dan MFL," katanya.
Tambahnya, inisiatif berkongsi rezeki itu akan dilaksanakan secara berterusan sebagai menghargai semua pihak yang memberikan sokongan terhadap AEON Big.