SHAH ALAM - Pemilik motosikal sanggup melabur ribuan ringgit semata-mata mahu mendapat kepuasan ubah suai kenderaan biar pun mengetahui spesifikasi yang diingini adalah salah dan boleh diambil tindakan pihak berkuasa.
Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini di lima bengkel popular sekitar Lembah Klang menjadi tumpuan utama pemilik motosikal menjelang musim perayaan.
Rata-rata premis ini akan dibuka seawal jam 9 pagi dan akan tutup pada jam 6 petang sepanjang bulan Ramadan.
Premis yang menerima perhatian besar daripada kalangan anak muda menawarkan khidmat menyelenggara motosikal, ubah suai selain boleh menambah kelajuan dengan spesifikasi tertentu.
Apa yang menariknya, penggunaan tayar sotong tanpa brek belakang turut mendapat sambutan dan mempunyai peminatnya sendiri.
Seorang pekerja bengkel dikenali sebagai Luqman, 38, tidak menafikan menerima permintaan tinggi untuk ubah suai kenderaan menjelang musim perayaan berbanding hari biasa.
Katanya, bulan ini pemilik motosikal sudah mula datang untuk mencantikkan motosikal, membaiki dan ugrade.
"Upgrade maksudnya untuk melajukan motosikal dan yang paling popular ialah ubah suai enjin, sistem brek dan ekzos selain penggunaan tayar sotong.
"Tayar sotong ini ada banyak saiz seperti 60/80 dan ada lagi kecil iaitu 50/90 yang boleh dapat bawah RM60 bergantung jenama,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Tambah pekerja itu, motosikal yang paling popular sering dibawa untuk diubahsuai adalah jenis Yamaha Y15, Yamaha LC135, Honda RS150 dan SYM185.
Ujarnya, kebiasaan yang datang adalah kalangan mereka berusia lingkungan 20-an.
"Jika mereka hendak lajukan motosikal, pemilik akan membeli alatan ganti seperti ECU yang berharga sekitar RM400 hingga RM800 bergantung jenis motosikal,” ujarnya.
Menurutnya, ada juga spesifikasi motosikal yang diubah dari hanya lima gear kepada enam gear dan proses ubah suai ini memakan masa satu minggu dengan kos sekurang-kurangnya RM1,500.
Selain itu, kata Herry, 34, yang bekerja di sebuah bengkel di Kajang, tayar sotong ini murah dan boleh dibeli secara dalam talian.
Jelasnya, semakin kecil tayar itu, semakin murah harga tetapi bergantung jenamanya.
"Di sini kami ada buat tawaran beberapa modifikasi enjin mengikut spec (spesifikasi) tertentu yang boleh mencecah harga lebih RM3,000.
"Untuk musim raya ini memang popular ubah suai termasuklah aksesori antaranya coverset, sportrim dan tayar,” katanya.
TAYAR SOTONG UNTUK BERLUMBA
Dalam pada itu, seorang pekerja bengkel motosikal yang dikenali sebagai Rahman, 20-an, berkata, tayar sotong hanya dijual di premis tertentu sahaja berikutan permintaan kebanyakan pengunjung adalah tayar standard.
"Tayar sotong ini popular dalam kalangan pelumba haram kerana mereka mahu mengurangkan beban berat pada jentera semasa berlumba.
"Tayar ini agak nipis dan tidak sesuai untuk kegunaan harian kerana tidak stabil dengan motosikal
"Tayar jenis (sotong) ini selalunya digunakan oleh mereka yang berlumba secara haram atau mereka yang beraksi dalam acara drag,” katanya.
Sementara itu, seorang pemilik di sebuah kedai aksesori motosikal berkata, kedainya menawarkan jualan dan pemasangan tayar sotong kepada pengguna motosikal yang berminat.
Katanya, perkhidmatan pemasangan tayar sotong dan rim bersesuaian dibuat di bahagian belakang premis perniagaan bagi memudahkan pelanggan seterusnya memastikan barangan dibeli dapat digunakan dengan baik.
"Ada bermacam motosikal yang datang untuk modifikasi antaranya jenis Yamaha Y15ZR, Yamaha 125Z dan lain-lain dan ini antara yang popular.
"Biasanya motosikal akan ditinggalkan dalam sehari dan bayaran bergantung tahap modifikasi motosikal yang dimahukan,” ujar lelaki yang mahu dikenali sebagai Amin, 32.
Selain itu, seorang pemilik bengkel turut mengakui tayar sotong disukai oleh kalangan remaja.
Hanya mahu dikenali sebagai Nazri, 34, berkata, biarpun tayar sotong tidak selaris tayar standard, namun dia tetap menjualnya kerana ada kelompok anak-anak muda menyukai tayar jenis tersebut.
Jelasnya, meskipun penggunaan tayar sotong agak bahaya, tetapi sebilangan penunggang motosikal mahu melihat jentera mereka tampak ranggi.
"Saya menjual pelbagai jenis tayar. Jika ada yang ingin menggunakan tayar sotong, ia bukan masalah saya. Sekiranya ditahan pihak berkuasa, mereka yang perlu menjelaskan kenapa menggunakan tayar jenis itu.
"Tetapi kesemua penunggang tahu bahawa menjadi satu kesalahan untuk mengubah suai atau memodifikasi mana-mana bahagian motosikal,” ujarnya.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati tayar sotong dijual di kedai alat ganti besar dan popular yang mempunyai ramai pelanggan terdiri daripada peminat motosikal.