SHAH ALAM - Ladang awam dan zoo haiwan peliharaan, Farm In The City (FITC) bakal menjadi tarikan pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung di Dataran Karangkraf di sini pada 10 hingga 12 Mei depan.
Eksekutif Kanan Jualan dan Pemasaran FITC, Shamsul Naim Muhamad Jefri berkata, pelbagai program menarik dirangka kepada pengunjung-pengunjung Karnival Pendidikan Sinar Bestari untuk mengenali lebih dekat hidupan liar, haiwan peliharaan dan alam sekitar.
Beliau memberitahu, FITC bukan sekadar menjadi sebuah ladang awam dan zoo haiwan peliharaan, tetapi aktif dalam mempromosikan pendidikan hidupan liar serta alam sekitar yang dibangunkan dengan terperinci untuk pelajar.
"Antara haiwan-haiwan yang akan dibawa pada karnival berkenaan adalah keldai pygmy, lembu miniature, kambing pygmy, turkey chicken, ball python, fan tail pigeon, sail fin dragon, blue tongue skink, bearded dragon, hedgehog, arnab dan guinea pig.
"Bagaimanapun semua ‘bakat-bakat’ berkenaan perlu menjalani pemeriksaan doktor veterinar terlebih dahulu untuk memastikan ia fit untuk bertemu dengan orang ramai,” ujarnya.
Shamsul Naim menambah, lembaran pendidikan dan maklumat juga dijangka akan diedarkan kepada para pengunjung bagi memperkayakan lagi pengetahuan mereka selepas mengunjungi karnival.
Bahkan katanya, pengunjung berpeluang membelai ‘bakat-bakat’ yang dibawa untuk mengenali dengan lebih dekat haiwan-haiwan tersebut.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), FITC mula memasuki sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan kepada murid-murid berhubung kepentingan hidupan liar dan alam sekitar.
"Karnival ini platform terbaik kepada FITC menguar-uarkan program CSR berkenaan kepada warga pendidik,” katanya.
Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang menampilkan konsep memacu pendidikan generasi digital merupakan kerjasama antara Kumpulan Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS).