SANAA - Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh manakala lebih 220 lagi cedera dalam kejadian rempuhan di sebuah pusat bantuan di Bab Al-Yaman, Sanaa pada Rabu.
Jurucakap rasmi pihak berkuasa kesihatan Houthi, Anis Al-Subaihi mengesahkan kejadian itu sambil berkata pasukan perubatan bertindak balas dengan segera dan memindahkan mangsa yang cedera ke beberapa hospital di ibu negara untuk menerima rawatan.
TV al-Masirah milik Houthi melaporkan bahawa kementerian dalam negeri kumpulan itu mendakwa bencana itu berpunca akibat rempuhan semasa pengagihan wang tunai secara rawak oleh peniaga tempatan, tanpa mendapat kerjasama organisasi atau kementerian.
jurucakap kementerian itu, Abdul Khaliq Al-Ajri dipetik sebagai berkata bahawa pihak berkuasa telah menahan dua peniaga yang bertanggungjawab terhadap pengagihan wang berkenaan dan sedang menyiasat kejadian itu, lapor Xinhua.
Ramai rakyat Yaman, hidup dalam kemiskinan akibat konflik yang berlanjutan selama bertahun-tahun, berpusu-pusu ke pusat-pusat kebajikan untuk mendapatkan keperluan asas ketika Aidilfitri.
Yaman terperangkap dalam perang saudara sejak akhir 2014.
Peperangan itu telah menyaksikan puluhan ribu orang terbunuh, menyebabkan 4 juta orang hilang tempat tinggal dan mendorong Yaman ke ambang kebuluran. - Bernama