ALOR SETAR - Video seorang ketua keluarga mengangkat bendera putih berikutan masalah bekalan air selama empat hari dialami mereka di sebuah kampung di kawasan Ayer Hitam, di sini, yang tular di media sosial sejak Rabu adalah video lama yang ditularkan kembali.
Seorang penduduk Matang Mahang, Che Ani Mat Zain, 68, mengakui dia merupakan individu dalam video yang tular di beberapa media sosial termasuk Tik Tok dan Twitter itu.
Bagaimanapun, menurutnya, masalah bekalan air berlaku telah diselesaikan Syarikat Air Darulaman (Sada) dengan bantuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
"Memang saya dalam video yang memakai baju hijau dan mengangkat bendera putih namun itu video lama dipercayai berlaku pada November tahun lepas.
Tambah beliau, projek jangka pendek telah dilakukan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan itu sementara projek jangka panjang siap nanti.
Che Ani berkata, dia turut kesal ada individu menularkan semula video lama terbabit untuk kepentingan tertentu mereka.
Menurutnya, dia juga sememangnya tidak menyangka ada pihak mengambil kesempatan menyebarkan semula video terbabit.
Sebelum ini, tular video berdurasi 4 minit 32 saat di aplikasi sosial Tik Tok memaparkan seorang lelaki mengangkat bendera putih berikutan masalah air dialaminya hingga hingga mendapat 941 perkongsian,2509 tanda suka dan 1,030 komen.
Video itu kemudiannya dikongsi pula seorang pengguna di Twitter dengan ciapan Dah ada orang Kedah angkat bendera putih. Apa sudah jadi? @SanusiMNor.