GUA MUSANG - Laluan alternatif Gua Musang, Kelantan-Kuala Lipis, Pahang mulai sesak sejak pagi tadi berikutan peningkatan jumlah kenderaan warga perantau yang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk meraikan Aidilfitri.
Tinjauan Bernama hari ini mendapati beberapa laluan yang mengalami kesesakan adalah Hentian Gua Musang dan persimpangan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.
Iklan
Iklan
Pekerja swasta Amila Abdullah, 25, yang ingin pulang ke Tanah Merah berkata, beliau terpaksa menempuh perjalanan selama 11 jam dari Cheras, Kuala Lumpur untuk sampai ke Gua Musang.
"Terdapat beberapa kawasan mengalami kesesakan jalan raya yang teruk seperti Gombak (Selangor), Raub, Kuala Lipis dan Merapoh (Pahang)," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Hentian Gua Musang, di sini hari ini.
Bagi Shahrul Ridhwan Abd Wahab, 37, pula berkata, keputusan menggunakan laluan Simpang Pulai-Lojing-Gua Musang adalah tepat kerana aliran trafik di laluan tersebut bergerak dengan lancar.
"Alhamdulillah perjalanan sangat lancar, kenderaan juga tidak banyak melalui jalan Cameron Highlands, Pahang dan saya harap dapat sampai ke Pasir Mas dengan selamat," katanya. - Bernama