KUALA LUMPUR - Sikap pengguna jalan raya antara faktor penyebab berlakunya kemalangan sehingga melibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, keadaan emosi memberikan kesan terhadap pemanduan atau tunggangan.
"Selain itu, tidak kepatuhan kepada peraturan jalan raya melibatkan pelanggaran lampu isyarat merah, memandu laju dan bermain telefon bimbit menjadi penyumbang kepada kes-kes kemalangan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, aspek pemanduan selamat perlu dititik berat pengguna jalan raya supaya selamat sampai ke destinasi ingin dituju.
"Merancang pergerakan yang rapi dan teliti apabila jarak perjalanan yang jauh dan pada masa sama sentiasa pastikan kecergasan diri berada pada tahap terbaik selain kenderaan telah diselenggara sepenuhnya.
"Sifat sabar perlu ditanam dalam diri sekali gus mendidik pengguna supaya lebih berhemah, berhati-hati dan fokus di dalam pemanduan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas mengenai kesesakan di beberapa lebuh raya utama ekoran pergerakan jumlah kenderaan banyak pulang ke kampung, jelas beliau keadaan di kesemua lokasi terlibat sentiasa dipantau.
"Anggota diletakkan di lokasi-lokasi dikenal pasti berlaku kesesakan yang mana mereka akan memantau lokasi tersebut.
"Selain itu, gabungan kerjasama di dalam PDRM turut dipertingkatkan antaranya unit MPV (kereta peronda) dan URB (unit ronda bermotosikal), petugas balai di setiap daerah dan kontinjen," katanya.