Persiapan akhir Aidilfitri warga kota meriah

Iklan
Orang ramai terutama umat Islam membeli bahan mentah seperti ayam, daging, ikan, telur serta pelbagai jenis sayuran untuk persiapan menyambut Aidilfitri ketika tinjauan fotoBernama di sekitar ibu kota hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Bahu bertemu bahu. Itulah kemeriahan dan tahap kesesakan yang dapat digambarkan ketika tinjauan Bernama di sekitar Pasar Chow Kit, di sini hari ini menjelang sambutan Aidilfitri.

Pasar Chow Kit yang terletak di tengah pusat bandar raya antara Jalan Raja Laut dan Kampung Baru, di sini menjadi lokasi tumpuan orang awam membeli barang mentah untuk menyiapkan juadah raya bagi meraikan 1 Syawal.

Iklan
Iklan

Teringat akan insiden 'raya mengejut’ tahun lepas apabila umat Islam menyambut hari kemenangan itu awal sehari dari jangkaan, suri rumah Sheranisa Zainuddin, 30, tidak ketinggalan membuat persiapan awal walaupun tarikh sambutan Aidilfitri masih menjadi teka-teki.

"Saya rasa sama ada Hari Raya akan jatuh pada Jumaat atau Sabtu, saya sedialah beli awal-awal takut nanti susah beli di saat akhir,” katanya sambil menambah dia akan meluangkan hari lebaran bersama keluarganya di Ampang.

Iklan

Bagi Khairul Anuar Abdullah, 49, pula persiapan rayanya pada tahun ini dilakukan dalam keadaan sederhana dengan anggaran belanja RM300 ke bawah bagi mengelakkan berlakunya pembaziran.

"Kita perlu lebih berjimat-cermat sebelum, semasa dan selepas sambutan perayaan serta berhemah dalam perbelanjaan harian kita. Jadi dalam kita menyambut (Hari Raya) ini kita (perlu) lebih memikirkan apa barangan keperluan yang perlu kita sediakan,” katanya.

Iklan

Kelihatan menjinjit beg yang dipenuhi barangan basah, penjawat awam, Norhayati Muhammad Sidik, 35, ketika ditemui Bernama berkongsi persiapan raya berjalan lancar dan tiada masalah mendapatkan bahan diperlukan dengan harga berpatutan.

"Setakat ini semuanya baik, tetapi kita bersedia awal sebab tak nak macam tahun lepas mengejut, jadi hari ini kita dah standby mungkin esok raya, jadi kita standby beli barang,” katanya.

Selain itu, kemeriahan persiapan akhir turut dirasai di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman apabila tinjauan mendapati berlaku kesesakan lalu lintas disebabkan oleh orang ramai yang memenuhi kawasan itu untuk membeli-belah.

Seorang pekerja swasta, Badrul Naim, 33, yang akan pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah pada malam ini ketika ditemui sedang membuat persiapan saat akhir dengan membeli kuih dan baju raya untuk ibunya.

"Saya sedang mencari baju raya untuk mak saya dan sedikit kuih raya untuk tetamu di kampung dan telah berbelanja sebanyak RM300 untuk sepasang baju kurung, tudung mak saya, baju melayu dan juga sedikit kuih,” katanya.

Bagi pekerja hotel, Amrina Asyikin, 22, pula dia amat gemar membeli-belah pada saat akhir di hujung Ramadan kerana menurutnya harga yang ditawarkan oleh penjual lebih murah, selain mengambil 'mood' untuk menyambut Aidilfitri. - Bernama