Luvata kongsi rezeki, bantu 350 keluarga

Iklan
Michael (kanan) membantu sukarelawan mengagihkan barangan kepada penerima.

PASIR GUDANG - Sebanyak 350 keluarga di sekitar Pasir Gudang dan Johor Bahru menerima manfaat pelbagai barangan keperluan asas daripada program anjuran syarikat Luvata Malaysia Sdn Bhd (Luvata), hari ini.

Pengarah Urusan Luvata, Michael Nordgren berkata, penganjuran kali pertama ini merupakan salah satu cara syarikatnya memberi kembali kepada masyarakat setempat.

Iklan
Iklan

"Sudah 20 tahun kami beroperasi di Pasir Gudang malah kebanyakan kakitangan kami tinggal di sekitar sini, inilah rumah kami.

"Jadi, ini sebahagian tanggungjawab kami untuk berkongsi dan memberi balik kepada masyarakat," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada program 'Free Market' di Dewan Serbaguna Taman Scientex, di sini, hari ini.

Iklan

Luvata bekerjasama dengan pembekal-pembekalnya menyumbangkan pelbagai barangan asas dianggarkan bernilai RM20,000 kepada 350 keluarga terpilih.

Antaranya, beras, gula, minyak, bawang, bihun, sos dan banyak lagi.

Iklan

Pelbagai barangan keperluan asas daripada program anjuran syarikat Luvata Malaysia Sdn Bhd (Luvata), hari ini.

Michael berharap bantuan seumpama itu mampu memberi sedikit sinar kepada setiap keluarga yang dibantu.

"Walaupun sedikit bantuan yang kami hulur hari ini tapi kami harap ia dapat memberi sedikit kebahagiaan kepada keluarga yang menerima.

"Kami akan teruskan program ini pada masa akan datang dan mungkin dalam bentuk yang berbeza pula," katanya.

Katanya lagi, melalui program seumpama itu, lebih ramai golongan yang memerlukan dapat dibantu.

Michael (kanan) membantu sukarelawan mengagihkan barangan kepada penerima.

"Dalam tempoh beberapa jam sahaja 350 keluarga terima manfaat berbanding kami hantar dari pintu ke pintu.

"Mungkin dalam dua jam kami cuma dapat singgah dua atau tiga rumah. Kami nak bantu lebih ramai jadi kami anjurkan program sebegini," katanya.

Selain mensasarkan keluarga berpendapatan rendah, Luvata turut mengenal pasti mana-mana keluarga yang menghidap penyakit kronik, Orang Kurang Upaya serta ahli keluarga yang ramai.