SHAH ALAM - Ilmu falak melibatkan pergerakan alam dan objek di langit yang mempunyai hukum serta syaratnya perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata, pentingnya pendidikan ilmu falak bukan hanya berkaitan matahari, waktu solat dan kiblat tetapi juga awal bulan dalam Islam.
"Dalam Islam kita disuruh melihat hilal untuk menentukan bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri sepertimana yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T namun jika ia tidak memenuhi syarat, maka bulan itu menjadi 30 hari," katanya pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika Sinar Live yang bertajuk Raya ikut kalendar atau anak bulan?
Pada tahun 2022, rakyat Malaysia didapati kelam-kabut untuk membuat persiapan, ia susulan ramai yang menyangka tarikh hari Raya Aidilfitri jatuh pada sehari selepas pengumuman dibuat iaitu 3 Mei 2022.
Tambah beliau, penampakan anak bulan diterima walaupun hanya satu kelihatan di 29 lokasi cerapan.
"Tahun lepas hitungan dan imkanur rukyah tidak cukup syarat tetapi tiba-tiba ada satu lokasi yang kelihatan hilal maka yang terpakai adalah di kawasan tersebut.
"Bagi saya melihat anak bulan itu perlu dikekalkan kerana ikut data kita bangunkan di kalendar tidak kelihatan tetapi dengan dengan kuasa ALLAH S.W.T kelihatan anak bulan. Ia menunjukan kaedah itu lebih tepat dan ralevan,"ujarnya.