Hentian Bas Smart Selangor dilengkapi tujuh elemen pintar

Iklan
Amirudin (kiri) berkata sesuatu kepada wakil MBSA dan SSDU selepas merasmikan Hentian Bas Smart Selangor di Dataran Plaza Perangsang, Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM - Hentian Bas Smart Selangor yang dibina Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) tahun lalu dilengkapi tujuh elemen pintar termasuk panel paparan maklumat ketibaan bas, butang mengambil penumpang dan WiFi percuma.

Berfungsi melengkapkan kemudahan pengangkutan awam supaya lebih efisien selaras merealisasikan negeri ini sebagai Smart State, ia turut dilengkapi kamera litar tertutup, hab pengecas USB, butang kecemasan dan pengesan kualiti udara.

Iklan
Iklan

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hentian pintar dibina di dua lokasi iaitu di depan wisma MBSA dan Plaza Perangsang di Persiaran Sultan Seksyen 14 di sini, dilengkapi ciri keselamatan, keselesaan dan berteknologi tinggi.

Katanya, ia mencerminkan beberapa ciri utama yang perlu dimiliki oleh sebuah bandar pintar seperti mesra pengguna, infrastruktur selesa dan yang paling utama kewujudan lapisan digital.

Iklan

"Pelaksanaan lapisan digital diupayakan menerusi penggunaan beberapa komponen seperti sensor, aplikasi, jaringan yang pantas serta platform untuk memastikan tahap perkhidmatan awam menjadi lebih cekap dan pantas.

"Ciri penting tersebut juga membolehkan pengumpulan data termasuk jumlah bilangan pengguna, pengguna semasa waktu puncak, demografi pengguna, ketepatan waktu ketibaan bas dan beberapa lagi ciri keselamatan untuk menjamin keselesaan pengguna,” katanya.

Iklan
Hentian Bas Smart Selangor yang dilengkapi tujuh elemen pintar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Hentian Bas Smart Selangor, Aplikasi Sistem Pengangkutan Pintar Selangor (SITS) dan Trek Basikal Shah Alam di Dataran Plaza Perangsang, Shah Alam, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan.

Menurutnya, aplikasi SITS yang ditubuh pula membantu pengguna mengenal pasti hentian Bas Smart Selangor yang terdekat.

Menerusi sistem tersebut, pengguna juga boleh menyemak jangkaan waktu ketibaan bas yang seterusnya malah dapat mengetahui jadual perjalanan bas Smart Selangor yang turut dipaparkan dalam aplikasi.

"Kewujudan aplikasi ini bertepatan dengan aspirasi Smart Selangor untuk memberi kemudahan serta menaik taraf hidup rakyat dengan menggunakan teknologi sebagai asas sokongan.

"Ia sejajar dengan visi Selangor untuk menjadi sebuah Smart State terunggul di ASEAN pada tahun 2025,” katanya