KOTA BHARU - Tempahan biskut raya hasil tangan banduan di Penjara Pengkalan Chepa di sini meningkat dengan nilai keseluruhan jualan sebanyak RM300,000 bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, Penolong Kanan Komisioner Penjara Wan Sani Ab Latiff berkata, jumlah itu melebihi tahun lalu iaitu RM250,000.
"Biasanya kami sudah tutup tempahan pada minggu pertama puasa, namun kali ini disebabkan sambutan yang amat menggalakkan, tempahan dibuka sehingga minggu kedua puasa.
"Kesemua biskut raya sudah siap dan diagihkan kepada para pelanggan seperti yang ditempah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Menurut beliau, tempahan dilakukan oleh pelbagai agensi, orang persendirian dan swasta.
Lebih membanggakan apabila biskut dari Penjara Pengkalan Chepa itu turut mendapat tempat dan permintaan daripada pihak Istana Kelantan.
"Setiap tempahan dibuat antara RM20,000 hingga RM30,000 setiap agensi.
"Mereka menempah biskut raya seperti almond crunchy, semperit susu dan mazola yang disiapkan oleh 51 banduan majoriti wanita tempatan serta asing yang menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan termasuk dadah,” katanya.
Wan Sani memberitahu, walaupun perlu menyiapkan tempahan yang banyak melalui dua shif gerak kerja di penjara itu, pihaknya tetap mengekalkan bahan-bahan premium yang digunakan seperti mentega dan tepung berkualiti untuk menghasilkan biskut raya yang sedap.
"Enam anggota penjara wanita terlibat dalam operasi pembuatan biskut raya dan memantau banduan-banduan. Mereka juga menerima suntikan vaksin untuk pengendali makanan.
"Selain dibotolkan, biskut raya penjara juga dibungkus dalam bentuk hamper untuk dijadikan hadiah oleh pelanggan-pelanggan biskut raya penjara,” katanya.