Doakan kesejahteraan umat Islam di Palestin

Iklan
Polis Israel melancarkan pemburuan remaja Palestin yang didakwa melakukan serangan di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmuqaddis Timur pada 18 April lepas. - Foto EPA

DALAM kemeriahan umat Islam seluruh dunia meraikan Aidilfitri, penduduk di Palestin meraikan hari kemenangan itu dengan berhadapan kekejaman tentera Israel.

Kalau di Malaysia kita bertemu sanak saudara dalam suasana harmoni ketika hari raya, penduduk di Palestin pula perlu berperang untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.

Iklan
Iklan

Tentera Israel di Tebing Barat terus bertindak ganas bagi menunjukkan kekuasaan mereka di bumi barakah itu.

Baru-baru ini, tentera Israel menahan seorang remaja Palestin yang disyaki mencederakan dua warga Israel dalam satu kejadian tembakan di Baitulmaqdis timur.

Iklan

Menurut agensi berita AFP, remaja Palestin berkenaan dipercayai terlibat melakukan serangan tembakan di Baitulmaqdis.

Polis Israel kemudian telah mengunci kawasan kejiranan dan melancarkan pemburuan di mana kononnya mereka menjumpai senjata penyerang.

Iklan

Beberapa jam kemudian, tentera Israel mencederakan tujuh rakyat Palestin dalam pertempuran semasa operasi di kem pelarian Jenin, di utara Tebing Barat

Aktivis kemanusiaan Malaysia yang menetap di Semenanjung Gaza, Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, Israel secara politik berada dalam keadaan paling buruk dalam sejarahnya.

Menurutnya, dalam tempoh empat tahun, politik yang tidak stabil dan perpecahan dalaman menyebabkan lima kali pilihan raya terpaksa diadakan apabila kerajaan campuran yang dibuat gagal bertahan.

Nadir berkata, punca kegagalan sama ada kerana keinginan mendakwa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan kes-kes salah guna kuasanya, pertempuran parti berhaluan kiri dan kanan dan penarikan sokongan parti-parti ‘king maker’ yang kecil.

Kerajaan Israel pimpinan Netanyahu sekarang dikatakan antara kerajaan paling ekstrim dalam sejarah negara berkenaan, khususnya dengan adanya gandingan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich, juga dijangka tumbang akibat perpecahan dalaman.

Kerajaan gabungan baharu Israel pimpinan itu turut menerima tamparan hebat selepas sebuah mahkamah tertinggi pada Rabu memutuskan seorang anggota kanan beliau yang disabit bersalah mengelak cukai tidak boleh memegang jawatan menteri.

Siri serangan bertali arus oleh tentera rejim ini ternyata tidak meluntur semangat rakyat Palestin untuk beribadah pada malam terakhir Ramadan.

Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin mencatat kedatangan 280,000 jemaah pada malam 27 Ramadan (17 April) yang sering dikaitkan dengan malam Lailatul Qadar bagi umat Islam.

Agensi Berita Jordan (Petra) yang memetik kenyataan Jabatan Waqaf Islamiah Palestin melaporkan sejumlah 280,000 jemaah membanjiri Masjid Al-Aqsa dan pekarangannya pada malam Isnin, untuk menunaikan solat Isyak dan tarawih meskipun di tengah-tengah langkah ketat yang dikenakan pihak berkuasa Israel ke atas kota suci itu.

Sementara itu jurucakap Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeineh meminta kerajaan Israel bertanggungjawab terhadap sebarang potensi peningkatan konflik akibat serangan berterusan ke atas tapak suci di Baitulmaqdis, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Jelasnya, Israel cuba mencabar semangat rakyat Palestin, tetapi ia tidak akan mematahkan semangat mereka yang tetap teguh mempertahankan tanah Palestin dan kesuciannya, walau apapun yang terjadi.

Sebelum ini juga menurut laporan media, tentera Israel telah menyerbu Dewan Solat Al-Qibli di kompleks Masjid Al-Aqsa selepas solat tarawih, melepaskan bom pegun, memukul jemaah Palestin dan menahan kira-kira 350 jemaah.

Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan Palestin pula melaporkan polis Israel mula membebaskan tahanan dengan syarat mereka dipindahkan dari Masjid Al-Aqsa dan Kota Lama Baitulmaqdis selama seminggu bermula Rabu.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan White House, John Kirby pula berkata, Amerika Syarikat (AS) amat bimbang dengan keganasan yang berterusan, sekali gus menggesa semua pihak supaya mengelak daripada memburukkan lagi ketegangan.

Qatar yang tidak mengiktiraf Israel pula memberi amaran bahawa tindakan rejim Israel akan memberi kesan serius terhadap keselamatan dan kestabilan rantau itu, serta menjejaskan usaha memulihkan proses damai yang tergendala, jika masyarakat antarabangsa tidak bertindak segera.

* Izwan Rozlin ialah wartawan Sinar Harian meja Nasional