SAMBUTAN 1 Syawal tahun ini merupakan kali pertama buat jaguh pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy meraikannya di luar negara tanpa keluarga tersayang.
Khairulnizam berkata, dia kini giat menjalani latihan di Hyeres, Perancis sebagai persediaan bagi menghadapi Pusingan Kedua Kejohanan Perahu Layar Olimpik Perancis yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 29 April.
"Ini merupakan Aidilfitri pertama yang saya raikan berjauhan daripada isteri, anak dan ahli keluarga lain sepanjang tempoh 20 tahun terlibat dalam sukan pelayaran ini.
"Sejujurnya, saya berasa agak janggal sikit kerana ini pertama kali berjauhan beraya dengan ahli keluarga dan sanak saudara berbanding sebelum ini beraya bersama-sama orang tersayang.
"Apapun saya perlu membiasakan dan menyesuaikan diri kerana sebagai atlet, sudah tentu kita mempunyai tanggungjawab dalam menggalas cabaran dan membawa nama Malaysia,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Menurut Khairulnizam, dia masih boleh berhubung dengan ahli keluarganya dan rakan taulan pada sambutan Aidifitri nanti biarpun berada jauh dari tanah air.
"Walaupun berada jauh beribu-ribu kilometer, sekarang zaman serba canggih dan moden dengan teknologi yang ada. Jadi kami akan membuat panggilan video bagi mengubati kerinduan,” ujarnya.
Pada masa sama, Khairulnizam memaklumkan sambutan 1 Syawal bersama rakan-rakan diraikan secara sederhana.
"Untuk pengetahuan, tarikh 1 Syawal di sini jatuh pada hari terakhir sesi latihan yang memerlukan kami untuk sentiasa fokus.
"Pagi selepas solat sunat Aidilfitri di sini, kami akan berkumpul bersama-sama meraikannya pada tengah hari sebelum turun berlatih di sebelah petangnya,” katanya.
Berkongsi juadah kegemaran, Khairulnizam berkata, rendang ayam merupakan menu utamanya setiap kali menyambut Aidilfitri.
"Sekiranya bersama-sama ayah, dia akan menyediakan rendang kambing. Pada sebelah malam pula, kebiasaannya sup gearbox juga antara juadah pilihan utama,” jelasnya.
Mengenai sesi latihan sepanjang Ramadan, Khairulnizam memaklumkan, perkara itu tidak mengganggu tumpuan dan bukan masalah kepada rutin hariannya.
"Kami perlu bijak menyusun jadual, pada awalnya latihan sebelah petang, namun hujung-hujung Ramadan ini kami tukar ke sebelah pagi.
"Latihan sebelah pagi lebih baik, selepas sahur kami tidak tidur semula sebaliknya rehat sebentar kemudian pagi-pagi terus ke laut, dan tengah hari kami dapat rehat sementara lelapkan mata sebelum sambung gim pada petang sebelum berbuka.
"Ini rutin kami supaya tidak penat sangat. Bab pengambilan makanan sepanjang Ramadan sememangnya antara elemen yang diberikan perhatian serius.
"Bila berbuka kena ambil dalam kuantiti yang banyak sikit untuk recovery tenaga. Bangun makan bersahur satu keperluan sebagai bekalan tenaga bagi sesi latihan sebelah pagi. Jadi bab makanan ini sememangnya perlu berdisiplin,” jelasnya.
Mengenai Pusingan Kedua Kejohanan Perahu Layar Olimpik Perancis, Khairulnizam berkata, kejuaraan itu merupakan pentas persediaan mengharungi Sukan Asia.
"Awal tahun ini saya kurang bernasib baik apabila mengalami beberapa kecederaan pada bahagian tangan forearm tear dan kecederaan bahagian belakang badan.
"Jadi permulaan tahun ini kurang baik, sekarang ini merupakan proses untuk mendapatkan semua pada tahap terbaik. Kejohanan ini juga merupakan persediaan kelayakan Sukan Olimpik di The Hague, Belanda.
"Sebanyak 16 negara terbaik akan layak secara merit, kita sasar layak awal dan menang di Sukan Asia,” katanya.