Ahmad Zahid, Fadillah ucap selamat hari raya

Iklan
Ahmad Zahid, Fadillah Yusof
KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof masing-masing mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berharap lebaran kali ini disambut dengan penuh kemakmuran dan kesyukuran.

"Saya doakan seluruh muslimin dan muslimat di Malaysia mendapat keberkatan daripada ALLAH SWT. Maaf zahir dan batin,” kata Ahmad Zahid menerusi media sosialnya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dalam ucapan yang dimuat naik di laman Facebook berkata ketibaan Syawal merupakan satu kemenangan terbesar bagi setiap umat Islam yang berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan.

Beliau berkata, Ramadan mengajar erti kesyukuran, kesabaran, pengorbanan dan kesederhanaan serta bersyukur dengan nikmat yang telah diberikan dan bersederhana dalam semua perkara.

"Syawal pula mengajar kita erti perkongsian, berkongsi kegembiraan dengan mereka yang tersayang, mengeratkan hubungan yang sedia terjalin dan memperbaharui ukhuwah sesama kita.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri saya titipkan buat keluarga dan juga kenalan. Bagi yang pulang ke kampung halaman masing-masing semoga tuan dan puan sentiasa berhati-hati semasa perjalanan pulang berhari raya ke kampung halaman,” katanya yang turut mendoakan semoga ukhuwah sesama rakyat Malaysia sentiasa berkekalan.

Semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan bahawa umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri esok. - Bernama.