"KITA akan bermain seperti biasa dan cuba berikan saingan,”
Itu reaksi ketua jurulatih PKNP FC Abu Bakar Fadzim berhubung persiapan pasukan berkenaan menjelang aksi suku akhir pertama Shopee Piala FA 2019 berdepan Perak di Stadium Majlis Perbandaran Manjung 30 April ini.
Abu Bakar berkata, skuad The Bos Gaurus itu pasti akan menurunkan kesebelasan terbaiknya dalam usaha membolosi gawang PKNP FC pada perlawanan berkenaan.
Justeru menurutnya, kesebelasan anak didiknya akan cuba memberikan aksi terbaik selain memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membawa ‘bekalan selesa’ menjelang aksi timbal balik di Stadium Perak, 11 Mei depan.
"Bertemu Perak, memang kita rasa tak boleh buat apa kerana ini adalah undian. Kita akur dengan undian itu. Sekali gus memberi gambaran bahawa hanya satu pasukan bakal ke separuh akhir.
"Lagi pun, penyokong PKNP FC dan Perak adalah penyokong yang sama. Cuma kita tak nafikan Perak berada dalam kelas tersendiri selain memiliki banyak kelebihan dari segi reputasi termasuk dengan kesebelasan pemain yang dimiliki.
"Diharapkan, perlawanan ini akan menambahkan lagi kemeriahan bola sepak dan kita akan bermain seperti biasa serta memberikan saingan kepada Perak,” katanya kepada Sinar Harian.
Difahamkan, sebelum aksi Piala FA itu, PKNP FC dan Perak terlebih dahulu akan bertemu dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung 27 April ini.
Sementara itu, Abu Bakar berharap kesebelasan pemain PKNP FC dapat cepat menyesuaikan diri menjelang aksi suku akhir kedua Piala FA 11 Mei depan berikutan ia bakal berlangsung pada bulan puasa.
Katanya, pemain perlu cepat menyesuaikan diri supaya dapat memberikan aksi terbaik pada perlawanan berkenaan.
"Kita juga akan beraksi dengan Perak bagi saingan Liga Super di Ipoh pada bulan puasa nanti.
"Oleh itu kita rasa kita perlu sesuaikan suasana untuk menyambung aksi dalam bulan puasa nanti. Semoga pemain dapat cepat menyesuaikan diri,” katanya.