Telefon bimbit iPhone dicuri sudah dipulangkan - Polis

Iklan
Rakaman video tular mengenai kes kecurian telefon bimbit iPhone di sebuah kedai di Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR - Kes kecurian telefon bimbit jenis iPhone 13 Pro Max di sebuah kedai di Wangsa Maju, di sini, diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut ekoran suspek memulangkan semula barang tersebut kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju pada Rabu menerima satu laporan berhubung perkara itu.

Iklan
Iklan

Dalam kejadian terbabit katanya, mangsa yang bekerja di kedai berkenaan didatangi seorang lelaki berpakaian serba hitam untuk melihat iPhone berwarna perak tersebut yang kemudian bersetuju membeli telefon bimbit itu.

"Mangsa meminta supaya suspek menulis butiran di atas resit pembayaran, namun secara tiba-tiba suspek telah bertindak mengambil telefon bimbit tersebut yang berada di atas meja lalu melarikan diri tanpa membuat sebarang pembayaran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata, mangsa telah menarik semula aduan yang dilaporkan pada Khamis kerana telefon bimbit tersebut telah dikembalikan oleh orang awam.

"Pengadu telah menyelesaikan kes ini secara baik bersama suspek tersebut. Kes telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA)," katanya.

Iklan

Terdahulu, tular sebuah video dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter yang memaparkan kejadian kecurian tersebut.

Video berdurasi 39 saat yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) merakamkan dengan jelas perbuatan suspek itu.