Menteri kabinet ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

Iklan
Gambar dari kiri: Tiong King Sing, Saifuddin Nasution, Alexander Nanta Linggi, Dr Zaliha

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Beberapa menteri kabinet pada Jumaat mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, rakyat negara ini tanpa mengira kaum akan bersama-sama meraikan setiap perayaan tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang yang menjadi daya tarikan pelancong asing untuk merasai keharmonian rakyat negara ini

Iklan
Iklan

"Inilah keunikan masyarakat kita yang tidak ada di tempat lain,” katanya yang turut menitip pesanan kepada perantau yang pulang ke kampung halaman supaya memandu dengan berhati-hati.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mengambil semangat Aidilfitri, beliau dan warga kementerian berkenaan komited mengukuhkan tekad untuk terus bekerja kuat demi rakyat dan negara.

Iklan

"Sambutlah Aidilfitri dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan bersama insan tersayang. Didikan yang diperoleh di sepanjang madrasah Ramadan meningkatkan kefahaman akan erti kesabaran, kasih sayang, ihsan, kesunggguhan dan bermacam lagi,” menurut ciapan beliau di Twitter.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, perayaan Aidilfitri dapat mengeratkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.

Iklan

"Inilah masanya menghulur tangan bermaafan dan mengeratkan hubungan sesama kita. Lupakan sengketa dan tingkatkan keharmonian dalam perpaduan," katanya di Facebook.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengajak umat Islam bersama-sama bersyukur dan merenungkan segala nikmat yang diberikan oleh ALLAH SWT.

"Nikmat yang tidak terhingga, seperti kesihatan, keluarga, kebahagiaan dan pelbagai kurniaanNya lagi. Semoga kita terus bersyukur dan memperoleh keberkatan dari ALLAH SWT. Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin," katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook beliau.

Esok umat Islam di Malaysia akan menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke menerusi Facebook rasminya merakamkan penghargaan kepada petugas pasukan hadapan yang bekerja semasa Aidilfitri untuk membawa perantau balik ke kampung serta menjaga keamanan dan keselamatan orang ramai.

Mereka termasuklah anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi penerbangan, pemandu teksi, pemandu e-hailing dan p-hailing serta kakitangan rel dan pelabuhan.

Dalam kegembiraan pulang ke kampung halaman masing-masing, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memandu secara berhemah di jalan raya kerana kepulangan mereka pastinya dinantikan oleh orang tersayang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pula menzahirkan kesyukuran kerana dapat bersama-sama dengan warga kementerian menyantuni rakyat sepanjang Ramadan ini dengan pelbagai inisiatif Rahmah, untuk membantu meringankan beban rakyat terutamanya golongan memerlukan.

"Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program dan inisiatif anjuran KPDN selama ini. Semoga setiap kebaikan yang dilakukan diberikan ganjaran pahala dan kebaikan berlipat kali ganda hendaknya," kata beliau di Facebook.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menerusi video dimuat naik di Facebook berharap kedatangan Syawal ini memberi sinar kebahagiaan kepada semua, dan memohon masyarakat agar tidak melupakan golongan kurang bernasib baik walaupun sibuk dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

Turut mengucapkan salam Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang menyambut perayaan itu esok ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

"Saya mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun dan maaf kepada semua sekiranya ada tersalah kata dan laku sama ada sengaja atau tidak. Maaf zahir dan batin," katanya. - Bernama