BANGKOK - Polis Thailand membongkar sindiket penyeludupan menggunakan trak pikap untuk mengangkut ratusan ribu liter bahan api dari Malaysia ke Thailand setiap bulan.
Penolong Ketua Polis Thailand, Leftenan Jeneral Surachate Hakparn berkata, sindiket dikenali 'Jae Fang' itu menggunakan trak pikap dan lori yang tangki bahan apinya sudah diubah suai.
Trak dan lori itu akan menghantar barangan ke Malaysia dan kemudian mengisi bahan api di stesen minyak di Malaysia sebelum kembali semula ke Thailand.
"Pemandu akan memindahkan bahan api itu ke kemudahan penyimpanan di gudang di Hatyai, Songkhla yang terletak kira-kira 30 kilometer dari sempadan Thailand-Malaysia.
"Siasatan awal mendapati tangki bahan api yang diubah suai itu boleh membawa kira-kira 1,000 liter bahan api untuk setiap perjalanan. Ada trak pikap yang berulang-alik dengan purata 10 perjalanan setiap hari.
"Sindiket itu boleh mengangkut ratusan ribu liter minyak setiap bulan,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu akan menjual semula bahan api yang diseludup itu kepada penjual tempatan, bot nelayan dan petani.
Siasatan mendapati sindiket terbabit - trak pikap dan pemandu lori akan memandu merentasi sempadan ke bandar sempadan terdekat di Malaysia pada awal pagi untuk 'menghantar barang' dan kemudian mengisi bahan api di kenderaan mereka dan kembali ke gudang di sempadan Thailand untuk memunggah bahan api.
Surachate berkata, polis Thailand merampas 2,000 liter minyak dan menahan dua individu di gudang di Hatyai baru-baru ini.
Beliau berkata, negara kehilangan lebih 100 juta baht setahun dalam hasil cukai akibat penyeludupan bahan api.
"Justeru, Polis Diraja Thailand bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Eksais, Jabatan Kastam dan Tentera Laut Diraja Thailand memperhebatkan usaha penguatkuasaan bagi memerangi sindiket penyeludupan bahan api," katanya.
Perbezaan ketara harga diesel dan petrol antara Thailand dan Malaysia, menjadikan bahan api Malaysia sebagai sasaran penyeludup yang ingin mengaut keuntungan dengan terlibat dalam perdagangan haram, terutamanya di wilayah selatan Thailand.
Di Malaysia, seliter diesel berharga RM2.15 manakala RON97 (RM3.35) dan RON95 (RM2.05).
Di Thailand, seliter diesel berharga 32.94 baht (RM4.24) manakala gasohol 95 (36.85 baht atau RM4.74) dan gasohol 91 (36.58 baht atau RM4.71). - Bernama