KUALA TERENGGANU - Sepasang suami isteri maut manakala anak perempuan mereka cedera selepas kereta dinaiki keluarga berkenaan bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 21, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, di Sungai Ikan, dekat sini, tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Che Ku Yusoff Ali Che Ku Embong, 52, dan isterinya, Siti Faridaf Ahmad, 46, yang berada di tempat duduk belakang, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Iklan
Iklan
Katanya, anak pasangan itu, Che Ku Batrisya, 18, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan, pemandu bas ekspres berusia 51 tahun serta lapan penumpang bas mengalami kecederaan.
"Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika bas ekspres yang membawa seorang kelindan dan 27 penumpang dalam perjalanan dari arah Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuantan, Pahang.
"Sebaik tiba ditempat kejadian, kereta dipandu Che Ku Yusoff Ali dari arah Kuala Terengganu menghala ke Felda Belara di sini, memasuki laluan bas ekspres dan jarak yang dekat menyebabkan pemandu bas tidak sempat mengelak, menyebabkan kedua-dua kenderaan itu bertembung,” katanya, ketika dihubungi pada Jumaat.
Katanya, mayat suami isteri itu telah dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Wan Mohd Zaki berkata, anak pasangan itu dan pemandu bas ekspres kini berada di HSNZ untuk menerima rawatan manakala penumpang bas yang cedera telah dibawa Hospital Setiu untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama