Maritim sedia hulur bantuan keselamatan di laut musim perayaan

Iklan
Anggota Maritim Malaysia melakukan peninjauan dan operasi 'CARILAMAT' di perairan negara pada musim perayaan. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

SHAH ALAM - Kesiap siagaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menangkis sebarang kemungkinan insiden kecemasan di laut tetap diutamakan meskipun pada musim perayaan.

Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Laksamana Pertama Maritim, Aminuddin Abdul Rashid berkata, sebagai sebuah agensi peneraju dalam usaha mencari dan menyelamat di laut, pihaknya sentiasa peka dan bersedia malah bertekad melaksanakan tugas pada tahap terbaik demi negara.

Aminuddin menunjukkan Personal Locator Beacon sebagai peranti yang amat diperlukan oleh nelayan sekiranya keluar ke laut. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Iklan
Iklan

Untuk itu menurut beliau, pihaknya memastikan setiap bot bersedia untuk diatur gerak di setiap Zon Maritim dan Maritim negeri di musim perayaan ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya insiden kecemasan di laut.

"Agensi ini telah memperkenalkan bot jenis 'Kilat' yang dijadikan projek perintis sebagai bot operasi 'CARILAMAT' yang akan digerakkan sekiranya berlaku insiden kecemasan di laut.

Iklan

"Malah Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) dan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) juga tetap beroperasi selama 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu walaupun di musim perayaan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, berdasarkan statistik tahun lalu bagi tempoh 9 April hingga 17 Mei iaitu semasa musim perayaan, sebanyak 29 insiden kecemasan direkodkan dengan jumlah mangsa sebanyak 97 orang.

Iklan

Daripada jumlah mangsa itu, kata beliau, sebanyak 80 orang telah ditemui selamat, manakala 14 orang meninggal dunia dan tiga orang mangsa hilang.

Jelas beliau, berdasarkan laporan statistik insiden kecemasan di laut, majoriti kejadian adalah melibatkan golongan nelayan.

Bagi memastikan keselamatan nelayan, Aminuddin berkata, beberapa perkara utama harus diberi perhatian oleh kumpulan nelayan bot kecil apabila turun ke laut.

Katanya, sebelum keluar ke laut, nelayan perlu memastikan mereka memaklumkan arah destinasi mencari rezeki kepada ahli keluarga atau rakan terdekat.

"Maritim Malaysia sering kali menerima kes nelayan hilang, namun ahli keluarga tidak tahu destinasi yang dituju dan ini menyukarkan pihak berkuasa untuk melakukan operasi pencarian.

"Sekiranya ahli keluarga tahu ke mana destinasi mangsa yang hilang, skop pencarian oleh pihak berkuasa dapat dikecilkan dan peluang untuk menjumpai mangsa lebih tinggi dan pantas," katanya.

Selain itu menurutnya, nelayan perlu sentiasa menyemak ramalan kaji cuaca dengan mengunjungi laman web rasmi Jabatan Metereologi Malaysia atau aplikasi My Cuaca.

Tambahnya, nelayan perlu membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) kerana peralatan tersebut amat penting sekiranya nelayan atau orang ramai berada dalam situasi cemas di laut.

Jelasnya, penggunaan PLB bukan sahaja membolehkan pihak berkuasa dapat mengetahui kedudukan mangsa secara tepat kerana menggunakan isyarat satelit, malah ia disifatkan sebagai kos efektif.

Pasukan Maritim Malaysia melakukan operasi menyelamat sebuah bot di perairan negara. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Tegasnya lagi, pemakaian jaket keselamatan adalah sangat penting dan sama sekali jangan mengambil mudah berhubung perkara itu biarpun telah berada di laut untuk berpuluh-puluh tahun sebelum ini.

"Walaupun anda merupakan juara renang gaya bebas di sekolah atau universiti, mungkin juga seorang nelayan dengan pengalaman 20 tahun atau anda juga seorang nakhoda kapal yang berpengalaman, jangan lupa untuk sentiasa memakai jaket keselamatan.

"Kita tidak akan mampu meramal arus atau keadaan cuaca di laut. Sekiranya terjadi sesuatu yang tidak diingini, kita juga tidak tahu berapa lama akan berada di laut.

"Jaket keselamatan dapat meningkatkan keberangkalian untuk berapung lebih lama dan memudahkan pihak berkuasa untuk mengesan kerana warna jaket keselamatan yang mudah dilihat sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini," katanya.