Sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan amat positif - Fahmi

Iklan
Fahmi (kiri) berbual bersama Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Datuk Arthur Joseph Kurup pada Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri 1444H Yang di-Pertuan Agong bersama erdana Menteri, Anggota Jemaah Menteri, Ketua- Ketua Perwakilan Asing, Kerabat dan Dif-Dif Kenamaan di Istana Negara pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - ‘Mood’ serta sokongan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mentadbir negara ini amat positif, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan berkata, beberapa dapatan kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan sentimen yang baik dalam kalangan rakyat.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tidak boleh leka dan dibuai mimpi walaupun rakyat menyokong usaha kerajaan ketika ini.

"... ini waktu kita untuk kerja keras bukan sahaja untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi tetapi juga segera selesaikan masalah rakyat.

Iklan

"Dapatan Jabatan Perangkaan terhadap tahap peningkatan inflasi juga berkurangan kepada 3.4 peratus, ini bermaksud ikhtiar kerajaan berjaya kawal peningkatan harga barang... tetapi banyak lagi yang perlu kita lakukan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santapan Hari Raya Aidilfitri di Istana Negara di sini pada Sabtu.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis itu.

Turut hadir, Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Iklan

Ditanya mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Fahmi berkata, gabungan kerajaan sedang merangka strategi yang sesuai khususnya untuk mendekati pengundi muda.

"Kita perlu rangka strategi mengikut tempat agar kita dapat sampaikan mesej kepada mereka... kita faham setiap kumpulan ada strategi komunikasi yang berbeza,” katanya.

Dilaporkan enam negeri itu iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN. - Bernama