KOTA BHARU - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan mendakwa tindakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) 'menutup' ruangan komen di laman sosial rasmi agensi itu pada sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak wajar.
Yang Dipertuanya, Mohd Syahiran Muhammad mendakwa, tindakan tersebut menyebabkan pengguna tidak dapat membuat aduan atau menyalurkan maklumat berkait dengan masalah dihadapi ketika ini.
"Kami maklum dengan luahan rakyat berkenaan perkhidmatan bekalan air terawat yang disediakan sempena sambutan Aidilfitri kali ini adalah pada tahap mengecewakan.
"Diharap AKSB melaporkan bentuk tindakan yang diambil bagi memastikan masalah bekalan air dirawat tidak mencukupi sudah diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, pada musim perayaan, bekalan air terawat merupakan keperluan asas yang sangat penting.
Ujar Mohd Syahiran, ia sepatutnya dibekalkan secara mencukupi, apatah lagi pertambahan penduduk susulan anak Kelantan diperantauan pulang berhari raya di kampung masing-masing.
"Kami menggesa kerajaan negeri khususnya Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri untuk memberi penerangan dan menyelesaikan segera isu ini.
"Masalah yang berlaku sedikit sebanyak memberi imej negatif terhadap libat urus keperluan asas negeri.
"Semoga perayaan Aidilfitri disambut dengan fasiliti asas rakyat dipenuhi di negeri ini pada masa akan datang," katanya.