SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berazam untuk memupuk budaya membaca serta percambahan idea dalam sistem pendidikan supaya kemakmuran dan kemajuan negara dapat dicapai.
Menerusi ciapan di laman sosial Twitter, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu berkata, budaya berkenaan terbukti mampu membentuk karakter serta pemikirannya sehingga sekarang.
"Budaya keilmuan, membaca dan menghadam buku, berdiskusi dan membahas idea di dalamnya adalah tradisi yang telah diterapkan sejak dari kecil dan membentuk karakter serta pemikiran saya.
"Saya berazam supaya budaya membaca, perkongsian dan percambahan idea yang sihat menjadi satu nilai yang dipegang dalam sistem pendidikan kebangsaan.
"Semoga generasi yang kita lahirkan dari sistem pendidikan ini berupaya menjadi individu kritikal dan mampu menjana pemikiran berdaya cipta tinggi demi kemakmuran dan kemajuan tanah air," ciapnya pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau turut memuat naik sebuah buku bertajuk 'Pendidikan ke arah perpaduan, sebuah perspektif sejarah' yang dibacanya sebagai usaha memahami sejarah pendidikan negara.
Perkongsian itu dibuat sempena sambutan Hari Buku Sedunia yang diraikan pada 23 April setiap tahun.
"Selamat Hari Buku Sedunia, teruskan membaca," ujarnya.