JURULATIH pecut, Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah optimis Malaysia mampu melahirkan lebih ramai pelari pecut seperti Muhammad Azeem Fahmi.
Justeru, Amir Izwan berkata, misi bagi melahirkan pelari pecut berbakat seperti Azeem yang mencipta beberapa kejayaan di usia muda tidak boleh terhenti di tengah jalan, selain perlu dipergiat dari masa ke masa.
"Saya tiada tekanan. Kita hanya buat apa yang kita mampu dengan ‘material’ yang kita ada. Pada masa sama kita akan usaha dapatkan dan cari ‘Azeem’ nombor dua,” katanya baru-baru ini.
Sementara itu, beliau berkata, tempoh masa yang khusus tidak boleh diletakkan dalam proses menjelmakan atau menghasilkan pelari pecut seperti Azeem.
"Tidak perlu diletakkan tempoh masa. Ia kena berterusan, dilakukan dengan melihat kepada bakat sedia ada dan jangan diletakkan sasaran dua atau tiga tahun kerana kita mahu projek itu berjalan,” ujarnya.
Mengulas sama ada pelari pecut negara mempunyai semangat juang untuk menghasilkan pencapaian membanggakan seperti Azeem, Amir Izwan berkata, rata-rata mereka mempunyai mentaliti hampir sama.
"Nak kata cara pemikiran, semua orang boleh ada itu, cuma bagaimana seseorang atlet menzahirkannya dalam latihan dan kejohanan.
"Atlet ini semuanya berbeza kebolehan, jadi mungkin perlu ambil masa. Bergantung kepada sama ada mereka boleh memberikan reaksi yang cepat atau tidak,” jelasnya.
Azeem mula disebut-sebut permata baharu olahraga negara selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 100 meter (m) dengan catatan 10.09saat (s) pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia di Cali, Colombia, Ogos lepas.
Pelari berusia 18 tahun itu kini melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.