KEHILANGAN bapa tersayang ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri enam tahun lalu masih mengundang kerinduan buat bekas penyerang sensasi negara, Azman Adnan.
Bukan sekadar seorang bapa, Adnan Ahmad atau lebih dikenali sebagai Pak Nan merupakan individu yang sangat istimewa buat Azman dalam membuka laluan kepadanya menjadi pemain bola sepak terkemuka.
Azman berkata, kedatangan Syawal kali ini sudah tidak semeriah seperti sebelum bapanya kembali ke rahmatullah pada 1 Julai 2017.
"Memang ada beza, bukan sahaja hari raya tahun ini tetapi sejak enam tahun lepas. Pada hari raya kedua enam tahun lalu, bapa saya meninggal dunia.
"Jadi bila tiba hari raya, mesti teringat arwah kerana beliau meninggal semasa hari raya. Memang terasa sangat kerana arwah bapa, saya menjadi pemain bola sepak,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Menceritakan memorinya bersama Pak Nan, Azman mengakui ketegasan arwah bapanya dalam mendidik membuatkan dirinya mampu menjadi antara penyerang berbisa di negara ini.
Menurut Azman, dia mula mengenali dunia bola sepak hasil asuhan arwah bapanya ketika masih di bangku sekolah rendah.
"Arwah bapa sayalah yang menjadi pendukung utama saya, selain ahli keluarga dan rakan-rakan sepanjang karier saya sebelum saya bersara pada tahun 2004.
"Sebab itu, jasa dan pengorbanan arwah bapa kepada saya amat besar serta sangat bernilai,” ujarnya yang pernah mencipta kemasyhuran bersama pasukan Kuala Lumpur dan Selangor.
Dalam pada itu, menurut Azman, beliau menyambut Hari Raya Aidilfitri tahun ini bersama-sama ibu dan adik-beradiknya di Kuala Lumpur.
"Terus terang saya rindu suasana raya pada masa dahulu. Berbeza kalau kita balik ke kampung di Rembau, Negeri Sembilan, di kampung sudah ramai yang tak ada.
"Memang berbeza raya sekarang dengan dahulu. Sekarang saya beraya di Kuala Lumpur sahaja, di rumah emak di Cheras. Adik-beradik semua berkumpul sama."Selepas itu, raya kedua baru kami balik kampung menziarahi saudara-mara di Rembau,” jelasnya yang mencipta nama di zaman kegemilangannya dari 1989 hingga 2004.
Berkongsi juadah yang menjadi kegemarannya setiap kali sambutan Aidilfitri, Azman mengakui tidak sabar menjamah rendang hasil tangan ibunya.
"Menikmati juadah hari raya dan berkumpul bersama ahli keluarga sekurang-kurangnya dapat mengubati kerinduan saya terutama kepada arwah bapa,” katanya.